Serangan Rejim Di Gaza Terus Ragut Nyawa, Angka Korban Cecah 307

GAZA: Serangan udara Israel di selatan Semenanjung Gaza meragut tujuh lagi nyawa pada awal hari Sabtu yang juga  masuk hari ke 12 operasi ketenteraan rejim, lapor pasukan kesihatan Palestin.

Serangan itu mengorbankan sekumpulan penduduk di luar sebuah masjid di bandar selatan Khan Yunis, kata jurucakap perkhidmatan kecemasan Ashraf al-Qudra kepada AFP, sambil menambah bahawa tiga orang yang terkorban itu adalah dari keluarga yang sama.

Seorang daripada mereka adalah wanita, kata Qudra.

Ini menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 303 orang sejak operasi besar-besaran rejim dilancarkan 12 hari lalu.

Hanya seorang orang awam Yahudi dan seorang anggota tentera terbunuh di pihak Israel sejak serangan bermula pada 8 Julai.

Perkembangan terbaru ini menyebabkan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon akan ke rantau itu bagi menggerakkan usaha damai kedua-dua belah pihak.

“Setiausaha Agung PBB akan berlepas ke rantau itu Sabtu untuk menggerakkan rundingan damai Israel dan Palestin” kata Setiausaha Hal Ehwal Politik PBB Jeffrey Feltman di dalam satu sidang tergempar Majlis Keselamatan.

Dalam pada itu Presiden Amerika Syarikat Barack Obama turut menghubungi Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk menyatakan rasa bimbangnya ke atas krisis yang melanda dan mengenai tindakan Presiden Palestin Mahmud Abbas berunding dengan pemimpin luar.

Sementara itu, dalam menghadapi serangan darat, laut dan udara dari Israel, pergerakan Hamas kekal berkeras dan memberi amaran kepada negara Yahudi itu bahawa mereka akan ‘lemas di Gaza’.

Di Majlis Keselamatan, duta Palestin Riyad Mansour kelihatan membaca dengan kuat nama-nama rakyat Palestin yang terkorban sehingga menitiskan air mata.

Jumlah penduduk Gaza yang mencari tempat perlindungan dengan agensi itu juga telah meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh satu hari iaitu daripada 22,000 kepada lebih daripada 47,000.

Pada Jumaat, Netanyahu berkata, beliau telah mengarahkan tentera untuk bersiap bersedia untuk memperluaskan serangan darat ke atas Gaza.

Menurut sumber ketenteraan, Israel telah mula membuka pendaftaran kepada 53,000 lagi tentera simpanan.

Manakala di Gaza, Program Makanan Sedunia turut membantu mengedarkan bekalan makanan kecemasan dan baucar makanan kepada lebih daripada 20,000 orang pelarian.

Dengan operasi serangan darat yang sudah bermula, mereka telah bersiap sedia untuk meningkatkan bekalan dan menjangkakan pengagihan makanan akan mencapai lebih 85,000.

Gaza juga bergelut dengan masalah gangguan kuasa dengan 70 peratus bekalan elektrik di situ di musnahkan tentera Israel.

Serangan darat Israel adalah dengan alasan sebagai tindak balas kepada serangan roket oleh kumpulan pejuang Palestin dan bertujuan mahu melumpuhkan Hamas yang menguasai Gaza.

Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Moshe Yaalon mengarahkan operasi serangan darat itu bagi memusnahkan rangkaian terowong bawah tanah dari Gaza.

Kumpulan pejuang Hamas dilaporkan masuk ke kawasan Israel menggunakan terowong berkenaan untuk melancarkan serangan pada Khamis. Israel mendakwa berjaya mematahkan serangan itu.

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum memberitahu CNN bahawa “pencerobohan darat oleh tentera Israel itu adalah satu langkah bahaya yang tidak diketahui akibatnya dan Israel akan membayar harga yang mahal untuk itu.”

(Gambar Hiasan)

Read more at:http://www.astroawani.com/news/show/serangan-rejim-di-gaza-terus-ragut-nyawa-angka-korban-cecah-303-40193?cp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.