Pencuri 2,000 Kenderaan Pelbagai Guna Akan Dibawa Pulang

KUALA LUMPUR 18 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Singapura bagi membawa pulang dalang terbesar kes kecurian kenderaan di negara ini, Robin Hai bagi menyelesaikan pelbagai kes jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, kepulangan Robin ke negara ini akan membantu pihak berkuasa untuk membanteras jenayah penyeludupan kereta curi.

“Pada 14 Mei lalu, Robin atau nama sebenarnya Nyo Ah Hai telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura. Dia ditahan kerana memiliki pasport antarabangsa Malaysia palsu.

“Pihak pasukan polis Singapura (SPF) telah memaklumkan penahanan itu kepada PDRM dan sehingga kini kita masih bekerjasama menyalurkan maklumat dan kami juga sedang berbincang untuk membawa balik suspek ke Malaysia bagi membantu menyelesaikan beberapa kes kecurian kenderaan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Pada 16 Mei lalu, Robin telah dituduh menyimpan dan melupuskan kenderaan curi di Singapura dan dibenar untuk diikat jamin sebanyak S$1.5 juta (RM3.8 juta) dan sehingga kini dia masih lagi ditahan di Penjara Changi untuk tarikh perbicaraan seterusnya.

Utusan Malaysia sebelum ini pernah melaporkan lelaki itu telah mencuri kira-kira 2,000 kenderaan pelbagai guna (MPV) dan pacuan empat roda (4WD) bernilai lebih RM180 juta sepanjang tahun lalu.

Dia diburu polis kerana menjadi dalang utama bagi kes kehilangan puluhan ribu kenderaan sejak enam tahun lalu khususnya untuk dieksport ke Asia Barat dan Afrika selain Indonesia serta Thailand.

Sementara itu, Bahagian Risikan/Operasi (D4) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berjaya melumpuhkan satu sindiket yang menyeludup keluar kenderaan curi melalui laluan laut membabitkan nilai kerugian RM1 juta di Jalan Seruling 58 Taman Klang Jaya, Klang pada 2 Julai lalu.

Mohmad berkata, lokasi itu menjadi tempat pengumpulan kenderaan curi sebelum dimasukkan ke dalam kontena untuk diseludup keluar.

“Polis kemudian berjaya menahan dua lelaki berusia 20-an ketika mereka memasuki gudang itu. Kita turut menemui empat kereta iaitu dua Toyota Vellfire dan dua Toyota Furtuner yang dipercayai sedang menunggu giliran untuk dimasukkan ke dalam kontena dan diseludup keluar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohmad turut memberitahu, pihaknya telah menemui semula lapan kereta mewah yang diseludup ke negara Thailand.

Lapan kenderaan itu adalah BMW, Honda Accord, Mercedes, Toyota Camry, Mini Cooper, Toyota Estima, Honda Civic dan Toyota Harrier.

Majlis penyerahan itu diadakan di Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan diserahkan kepada wakil PDRM.

http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140719/je_01/Robin-Hai-akan-dibawa-pulang

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.