Geng Plastik Hitam Cemar Kesucian Ramadan?

KUALA LUMPUR – Setiap kali tiba bulan Ramadan, bagaikan satu pemandangan biasa di sesetengah kedai makan apabila ada orang beragama Islam menjinjing bungkusan-bungkusan misteri dalam plastik hitam keluar dari kedai.
    
Meskipun tiada nama rasmi diberi kepada golongan ini, suara sinis masyarakat menggelarkan mereka sebagai ‘geng plastik hitam’, sempena warna plastik yang digunakan.
    
Ada dalam kalangan mereka itu yang tua, muda, lelaki dan perempuan. Situasi ini dapat dilihat dari pagi hingga ke petang, ketika ramai umat Islam menahan lapar dan dahaga.
    
Isi bungkusan itu, tidak perlu diperjelaskan lagi. Ada yang memilih roti canai, mee goreng dan ada menu nasi berlauk.
    
Pekedai pula seakan memahami keperluan golongan ini, turut membantu ‘menyembunyikan’ makanan yang dijual dengan mengguna beg plastik hitam yang tidak telus cahaya.
    
Jika dipandang dari sudut negatif, mudah untuk mengaitkan para pembeli dengan perilaku ponteng puasa.
    
Tetapi jika diperhalusi dengan lebih teliti, tidak semua pembeli terlibat dengan perilaku salah ini. Mereka mungkin ada sebab tersendiri yang pelbagai.  
    
Adakah penggunaan plastik hitam menjadi satu cara untuk membolehkan pekedai terus menjual makanan kepada orang beragama Islam dalam bulan puasa agar jualannya tidak terjejas?
    
Ataupun ia satu cara berkesan hasil inisiatif pekedai untuk menjaga air muka para pembeli beragama Islam daripada dipandang serong oleh orang ramai?
    
    
Malu Bawa Plastik Hitam
   
Tinjauan penulis mendapati ada pelanggan yang tidak selesa dengan pendekatan sebegini.
    
Pegawai kerajaan, Hafiz Nordin, 32, berkata beliau segan bila pekedai menggunakan plastik hitam sebagai pembungkus makanan yang dibeli untuk isterinya.
    
“Tak payah nak sorok, kita tengok sahaja plastik hitam, sudah tahu ini trend dan ‘trademark’ orang yang tidak puasa. Saya malu kerana jika saya bawa (makanan) dalam plastik ini orang mengata saya”, katanya yang meminta pekedai menukar plastik makanannya kepada warna yang biasa diguna seperti merah, jingga atau kuning.
    
Ketika ditemui Bernama, beliau baru selesai membeli roti canai dan lauk-pauk makanan tengah hari untuk isterinya yang tidak boleh berpuasa kerana masih menyusukan bayi.
    
Tambah beliau, jika seseorang tidak melakukan kesalahan, tidak perlu timbul rasa takut atau segan tidak bertempat, kerana jika ada yang bertanya, ia pasti boleh dijawab.
    
Hal ini tidak dipersetujui pemandu lori yang hanya mahu dikenali sebagai Zaid.
    
Kata beliau, tindakan pekedai menggunakan plastik hitam adalah baik kerana ia mengelakkan salah faham dalam kalangan anggota masyarakat.
    
“Saya memandu lori untuk jarak jauh dan saya juga jadi buruh memunggah muatan lori. Dalam Islam, seseorang yang bekerja berat, boleh untuk tidak berpuasa, diganti pada hari lain.
    
“Bila guna plastik hitam, orang tidak tahu isinya. Kami boleh bawa ke tempat yang tidak dilihat orang dan makan tanpa ganggu orang lain. Kita hormat orang berpuasa. Tapi mereka senang salah faham kalau lihat orang cukup sifat macam saya tak puasa”, jelas beliau yang membeli sebungkus nasi dan air teh ais.
    

Komen Pekedai
    
Pemilik restoran, Iqbal Hafiedz Ahmad Bazari, 34, memberitahu Bernama beliau meneruskan operasi kedainya seperti biasa, 24 jam sehari sepanjang bulan Ramadan.
    
Beliau adalah generasi ketiga pemilik Restoran Iqbal yang beroperasi sejak 1936 di Butterworth, Pulau Pinang yang terkenal dengan menu ‘mee goreng Pulau Pinang’, kini membuka cawangan di USJ 4, Subang Jaya, Selangor.
    
“Saya tidak faham kenapa ada keperluan untuk kedai menggunakan plastik hitam pada bulan Ramadan sebab kedai kami buka (perniagaan) bukan untuk memberi makan kepada orang yang tidak puasa (tanpa sebab) tetapi untuk pelanggan bukan Islam dan orang yang mendapat kelonggaran berpuasa”, kata beliau.
    
Beliau menjelaskan, dalam agama Islam, memang ada golongan yang mendapat keringanan dalam berpuasa, terutamanya ibu-ibu yang hamil, orang yang bekerja berat dan kanak-kanak.
    
Tambahnya, ramai pelanggan di kedainya datang daripada golongan ini, terutama mereka yang tinggal bersendirian dan tidak mampu untuk memasak, jadi beliau berniat membantu golongan ini.
    
“Contohnya, ramai pelanggan daripada golongan ibu bapa datang ke kedai kami membeli makanan seperti nasi putih dan ayam goreng untuk anak kecil mereka yang masih belum berpuasa”, katanya.
    
    
Jangan Bersubahat
    
Penulis buku agama Islam dan penceramah bebas, Ustaz Rohidzir Rais memberitahu Bernama, tidak menjadi kesalahan bagi orang Islam membeli makanan pada waktu siang pada bulan Ramadan selagi ia tidak makan pada siang hari atau bersubahat dengan membeli bagi pihak orang lain yang tidak berpuasa.
    
“Harus bagi orang berpuasa membeli makanan bagi orang lain yang dibenarkan untuk tidak berpuasa seperti wanita hamil atau menyusu, atau orang yang sakit dan tidak mampu berpuasa”, ujar penulis buku Metafora Suci Dari Langit dan Inspirasi Khutbah Rasulullah.
    
Golongan yang diberi keringanan puasa tetap tidak dibenarkan makan dan minum di khalayak ramai bagi menghormati orang yang berpuasa dan bulan Ramadan itu sendiri, tambah Rohidzir.
    
Mengenai hal plastik hitam, Rohidzir berkata, jika ia terbukti dilakukan untuk melindungi tindakan golongan tidak berpuasa, ia adalah tindakan yang salah, tetapi ia hendaklah disokong dengan bukti dan pemerhatian yang jelas.
    
“Apa sahaja cara yang mereka gunakan bagi melindungi orang yang tidak berpuasa (tanpa sebab dibenarkan syarak) ini adalah berdosa kerana dianggap bersubahat.
    
“Rasulullah S.A.W memberi amaran keras kepada golongan culas puasa ini dalam sabdanya ‘Sesiapa yang berbuka puasa sehari pada bulan Ramadan tanpa ada rukhsah (kelonggaran) yang diizinkan ALLAH untuknya, puasa sepanjang masa sekalipun tidak akan berupaya membayarnya sekalipun ia melakukannya’ yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, At- Tarmizi dan Ibnu Majah”, jelas beliau.
    
Rohidzir turut mengulas, sekiranya seseorang pekedai pasti bahawa golongan tidak berpuasa menjadikan kedainya sebagai tempat mendapatkan makanan pada waktu siang, wajib dia menutup kedai, atau mencegah orang Islam daripada makan di situ.
    

Kelonggaran Berpuasa
    
Rohidzir menjelaskan, terdapat beberapa golongan yang diberi rukhsah (kelonggaran) dalam ibadah puasa.
    
Pertama ialah orang-orang yang bermusafir untuk tujuan harus seperti berniaga, belajar atau melancong, dengan syarat perjalanan dilakukan sebelum fajar. Jika perjalanan yang tidak memenatkan seperti menaiki kapal terbang atau kenderaan yang selesa, digalakkan untuk terus berpuasa.
    
Orang sakit, yang boleh mendapat mudarat jika berpuasa, orang tua, perempuan hamil atau ibu yang menyusukan anak, yang bimbangkan kemudaratan kepada anak atau dirinya sendiri juga diberikan rukhsah.
    
“Bagi orang yang bekerja berat contohnya buruh kasar, dicadangkan untuk mengusahakan kerja agar dapat dibuat pada waktu malam atau mencari kerja lain
yang lebih ringah pada bulan Ramadan.
    
“Jika tidak dapat (cadangan di atas), dia tetap wajib berpuasa seperti biasa dan hanya boleh berbuka apabila terlalu penat hingga memudaratkannya. Itu pun hanya boleh makan dan minum ala kadar sahaja dan perlu terus tidak makan selepas itu hingga masuk waktu berbuka”, kata beliau. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.