Aidilfitri Kali Ini Amat Menyedihkan

KUCHING: Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini amat menyedihkan bagi Jamilah Noriah Abang Anuar, 72, apabila anaknya Ariza Ghazalee, 46, menantu Tambi Jiee, 49, dan empat cucu merupakan penumpang pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine.

menahan sebak sejak mendengar berita tersebut berkata, mereka anak-beranak memang tidak ketinggalan untuk menyambut perayaan di negeri ini, biarpun menantunya bertugas sebagai jurutera dengan Shell Berhad di Kazakhstan.

Malah, menurutnya, kesemua mereka juga telah merancang warna pakaian yang hendak digunakan pada Hari Raya Aidilfitri kelak, maka ia amat menyedihkan kerana mereka pergi buat selama-lamanya.

“Setiap kali Hari Raya Aidilfitri, kesemua mereka akan beraya di sini namun tahun ini sebaliknya berlaku.

“Saya amat sedih mendengar berita ini dan berharap mereka anak-beranak ditempatkan bersama orang yang beriman,” katanya.

Jamilah berkata, Ariza bersama suami dan empat anak mereka dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada kira-kira jam 4 petang selepas penerbangan dari Amsterdam yang sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 6.10 pagi semalam.

Menurutnya lagi, anaknya yang merupakan jurutera di Bintulu mengambil cuti tanpa gaji untuk mengikuti suaminya yang bertugas di Kazakhstan.

“Menantu saya akan bertugas di Kuala Lumpur bulan depan dan mereka sekeluarga bercuti raya di sini sebelum kembali semula ke ibu negara,” ujarnya.

Jamilah menjelaskan, pengesahan mengenai nasib yang menimpa insan tersayangnya itu hanya diketahui awal pagi semalam.

“Hati saya amat sebak selepas mendengar berita anak, menantu dan cucu saya berada dalam pesawat ini,” jelasnya.

Sementara itu, Madzalina Ghazalee, 47, merupakan kakak Ariza berkata, berita mengenai insiden yang menimpa adiknya sekeluarga memang sudah diketahui awal pagi semalam.

Bagaimanapun, katanya, belum ada sebarang pengesahan diterima pada ketika itu.

“Kami hanya menerima pengesahan daripada Penerbangan Malaysia (MAS) awal hari ini (semalam),” katanya.

Empat anak Ariza dan Tambi terdiri daripada Murhammad Afif, 19, Muhamad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15, dan Muhamad Afruz, 13.

 

http://www.theborneopost.com/2014/07/19/aidilfitri-kali-ini-amat-menyedihkan/

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.