Timur Tengah baharu sedang terbentuk di depan mata kita

- Advertisement -

Terjemahan artikel “New Middle East Is Unfolding Before Our Eyes” dalam majalah The Time oleh Karl Vick

Walaupun sukar dilihat di sebalik kepulan asap hitam dari kawah bom di Tehran, Iran sebenarnya telah menghabiskan sebahagian besar abad ke-21 sebagai kuasa yang sedang bangkit di rantau Timur Tengah.

Sehingga baru-baru ini, keadaan memang berpihak kepada Tehran. Di Iraq, Amerika Syarikat menjatuhkan Saddam Hussein dan akhirnya berundur, sekali gus menukar negara jiran terbesar dan paling berbahaya Iran daripada musuh kepada sekutu malah sebelum militia yang disokong Tehran menyelamatkan Baghdad daripada ISIS dan terus bertapak di sana.

Di Syria pula, tentera Iran bukan sahaja menyelamatkan rejim Assad, malah membuka laluan senjata kepada Hizbullah militan pro-Iran yang berpangkalan di Lubnan dan menjadi permata utama dalam pakatan yang dikenali sebagai “Pakatan Penentangan” terhadap Israel.

Selama lebih 80 tahun, penentangan terhadap Israel telah menjadi teras kepada dinamika Timur Tengah.

Bagi Republik Islam Iran, penentangan itu kekal menjadi pegangan utama. Pemusnahan negara Israel daripada “tanah Islam” merupakan ideologi asas Revolusi Islam 1979, yang memperlihatkan Iran sebagai pemimpin dunia Islam.

Amerika dilabel sebagai “Syaitan Besar”, namun bagi proksi Iran di Baghdad, Lubnan dan Yaman, Israel adalah sasaran utama.

Maka, menjelang 7 Oktober 2023, pemimpin Hamas satu-satunya wakil Palestin dalam pakatan tersebut menjangkakan bahawa setelah mereka berjaya menembusi sempadan Gaza dan menceroboh Israel beramai-ramai, mereka tidak akan berjuang bersendirian.

Namun, “Pakatan Penentangan” hampir tidak bertindak balas langsung. Hizbullah hanya melancarkan beberapa serangan roket harian ke arah Israel walaupun ketika rejim Zionis itu paling terdedah.

Pemimpin Iran telah menilai medan perang dan, apabila melihat Israel disokong oleh senjata dan risikan AS, serta memiliki arsenal nuklear, mereka mengingati semula sebab utama mereka juga mahu memiliki senjata nuklear: demi kelangsungan rejim.

Dalam kata-kata Ayatollah Ruhollah Khomeini, pencipta sistem teokratik Iran: “Memelihara sistem adalah keutamaan tertinggi.” Solidariti dengan Palestin tetap penting, tetapi kepentingan diri juga tidak dapat diketepikan.

Masalah bagi Iran dan juga perjuangan Palestin ialah kebanyakan negara Timur Tengah sudah lama membuat kesimpulan yang sama. Sepanjang dua dekad Iran meluaskan pengaruh ketenteraan atas nama Palestin, negara-negara kaya Teluk telah membina hubungan dengan Israel secara senyap.

Hakikatnya, sebahagian besar dunia Arab telah menormalisasi hubungan dengan Israel dalam pelbagai bentuk.

Mesir dan Jordan yang berkongsi sempadan dengan Israel telah menandatangani perjanjian damai selepas kekalahan ketenteraan berulang.

Negara-negara Teluk pula menjalin kerjasama atas dasar permusuhan bersama terhadap Iran.

Sebagai pusat aliran Sunni, negara-negara ini melihat Iran bukan sahaja radikal, malah sebagai pemimpin nominal kepada minoriti Syiah menjadikan Tehran sebagai pesaing ideologi.

Arab Saudi pula, sebagai penjaga dua tanah suci Islam, mempunyai cita-cita sendiri untuk mengetuai umat Islam dunia.

Sebagai negara autokratik, kerajaan Teluk juga menjadi pelanggan utama kepada sektor teknologi Israel yang berkembang hasil ketenteraan termasuk teknologi pengawasan seperti syarikat perisian intip NSO Group yang digunakan untuk memantau rakyat, termasuk berjuta-juta rakyat Palestin.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) merupakan negara pertama yang menormalkan hubungan dengan Israel menerusi Perjanjian Abraham pencapaian diplomatik utama pentadbiran Trump.

Tiga negara Arab lain turut menyusul, dan Arab Saudi terus memberi isyarat untuk melakukan perkara sama apabila situasi Gaza reda.

Namun Gaza terus bergolak perang yang Israel sendiri tidak jangkakan, dan tidak memiliki pelan yang jelas untuk menamatkannya. Ini kerana pada asasnya, isu Palestin bukan isu ketenteraan semata-mata.

Soalan paling asas masih belum terjawab: Apa yang perlu dilakukan terhadap rakyat Palestin yang turut menuntut tanah yang sama dengan warga Yahudi Israel?

Sebaliknya, perang terhadap Iran adalah sesuatu yang telah lama dirancang oleh Israel dimulakan pada September lalu dengan strategi tipu daya, serangan ke atas kepimpinan dan tapak peluru berpandu Hizbullah, yang menghapuskan ancaman 100,000 misil hanya dalam masa sebulan.

Ini membuka ruang kepada serangan Israel ke atas Iran yang bermula 13 Jun lalu.

Pada hari itu, seorang pengembala merakam video pesawat tentera Israel C-130 yang terbang rendah di ruang udara Syria, dengan bunyi loceng kambing bergema bersama deruan enjin.

Keluarga Assad telah melarikan diri dari negara itu beberapa bulan sebelumnya kerana tidak mampu mempertahankan Damsyik tanpa bantuan Hizbullah.

Iran pula menghantar pesawat khas untuk mengeluarkan jeneral mereka dari Syria ke Tehran.

Kini persoalan utama di Tehran: bagaimanakah Israel mahu mentafsir makna ‘kemenangan’?

Penukaran rejim seperti di Iraq dahulu terbukti gagal. Manakala matlamat untuk menghancurkan fasiliti nuklear Iran dilihat mustahil tanpa serangan udara dari Amerika Syarikat.

Keputusan itu kini terletak di tangan Donald Trump. Pilihannya berpotensi mengubah landskap rantau ini dengan cara yang tidak dijangka.

Namun, dengan mendahulukan hubungan bersama Israel dan negara Teluk berbanding nasib rakyat Palestin, Presiden AS itu telah memberi isyarat jelas akan bentuk baru hubungan antarabangsa di Timur Tengah lebih transaksional, lebih praktikal.

Pada tahun 1945, hanya dengan cadangan penubuhan negara Israel, seluruh dunia Arab melancarkan boikot atas nama rakyat Palestin.

Lapan dekad kemudian, sebuah negara Arab boleh menunjukkan kemarahan terhadap kematian 55,000 orang di Gaza, namun pada masa sama menghantar jet pejuang untuk memintas peluru berpandu Iran ke arah Tel Aviv terbang bersama pesawat perang Israel di langit sebuah Timur Tengah yang baharu. -The Time/SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat