KUALA LUMPUR- Keputusan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dikosongkan bermula hari ini, adalah perkara yang sudah dijangka.
Menurut ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, hal ini kerana mengikut peraturan undang-undang tubuh negeri dan Perlembagaan Persekutuan, jelas apabila berlaku keguguran seseorang itu daripada ahli parti, maka kerusi yang dipegang adalah kosong.
“Bagi saya, ini mewujudkan satu precedent (duluan) dalam negara yang mana apabila dikosongkan kerusi di Kelantan, maka di peringkat Dewan Rakyat tidak ada alasan yang boleh digunakan untuk mengatakan kerusi mereka tidak kosong.
“Saya berharap Tan Sri Johari Abdul sebagai Speaker Dewan Rakyat akan memastikan ada sedikit uniformity (keseragaman) dalam pelaksanaan peraturan-peraturan DUN dan Dewan Rakyat setelah melihat apa yang berlaku di Kelantan.
“Saya yakin Tan Sri Johari mahu dikenali sebagai seorang yang berpegang dengan prinsip kebebasan badan legislatif berbanding badan eksekutif serta bebas pengaruh daripada parti-parti politik. Dengan prinsip itu, saya pasti Tan Sri Johari pun faham dan sedar bahawa beliau tidak ada pilihan untuk mengisytiharkan enam kerusi Ahli Parlimen di Dewan Rakyat itu, kosong juga,” kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu.
Jelas Wan Saiful, sekiranya precedent ini tidak dihormati atau tidak dituruti dari segi uniformity, mungkin akan wujud satu krisis Perlembagaan yang serius akibat daripada tidak mengikut precedent yang ditetapkan.