RM5 juta untuk Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Kelantan – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR — Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Kelantan dengan dana yang diperuntukkan sebanyak 5 juta ringgit.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata operasi yang akan dilaksanakan pada 21 hingga 23 Jun 2024 ini diharap akan meningkatkan paras air Sungai Kelantan agar dapat mengairi kawasan-kawasan pertanian yang terjejas ketika ini.

“Justeru, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, saya telah meluluskan penggunaan dana Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) sebanyak RM 5 juta bagi menjayakan Operasi Pembenihan Awan ini.

“Usaha ini diharap dapat segera memberikan sumber air yang mencukupi di kawasan tadahan hujan sepanjang tempoh negara berhadapan dengan cuaca panas dan kering, khususnya di Negeri Kelantan,” katanya.

Beliau berharap usaha bersepadu yang dilaksanakan dapat membantu meningkatkan kapasiti air di kawasan tadahan hujan dan menjamin bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan.

“Saya juga telah menyarankan pihak NADMA dan KPKM untuk melaporkan perincian hasil Operasi Pembenihan Awan ini pada 23 Jun 2024 nanti.

“Malah, taburan hujan yang rendah yang dicatatkan bermula Februari hingga April tahun ini telah menyumbang kepada penyusutan paras air Sungai Kelantan serta menggangu operasi pam di seluruh Kawasan KADA.

“Bagi membolehkan Rumah Pam Kemubu beroperasi sepenuhnya, Sungai Kelantan perlu mencapai aras air pada ketinggian 4.90 meter, tetapi KADA hanya merekodkan aras air sungai Kelantan terendah iaitu 2.19 meter pada minggu kedua April 2024 lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

OPA adalah tindakan awal yang dilakukan Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi penyusutan air Sungai Kelantan dan menangani impak fenomena cuaca panas serta Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September 2024.

Tindakan ini dilakukan susulan permohonan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) melalui penyelarasan antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat