KUALA LUMPUR – Tiada sebarang bukti kesalahan jenayah dilakukan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Mohd Nazlan Mohd Ghazali berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
Bersandarkan siasatan SPRM itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memberitahu perkara itu turut dipersetujui Jabatan Peguam Negara.
Jelas Anwar, sebaik menerima laporan kes rasuah membabitkan hakim Mahkamah Rayuan itu, SPRM membuka kes siasatan terhadap Mohd Nazlan dan menyiasat dengan teliti.
“Berhubung kes rasuah itu…SPRM menyiasat dengan teliti dan mendapati tiada kesalahan jenayah dan dipersetujui Pejabat Peguam Negara,” katanya di Dewan Negara pada Isnin.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Kesavadas A Achyuthan Nair yang ingin mengetahui siasatan SPRM ke atas Mohd Nazlan dan konflik kepentingan dalam kes rasuah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketika menjawab soalan Kesavadas mengenai sejauh mana SPRM serius untuk menyiasat segala perilaku rasuah dan salah guna kuasa yang membabitkan bekas-bekas Perdana Menteri, Anwar berkata, SPRM perlu sentiasa menjalankan tanggungjawab dan tugas secara bebas dan berkecuali termasuk membabitkan siasatan terhadap tokoh politik dan bekas pemimpin negara.
Katanya, ia sejajar dengan peranan SPRM yang melaksanakan tugas berlandaskan prinsip keadilan dan undang-undang.
“Orang-orang yang menganggap ini siasatan bermotif politik, harus melihat kepada fakta dan bukan sentimen politik untuk kelirukan rakyat.
“Kalau nyata dari segi siasatan ada kes yang dianggap berprofil tinggi dan mempunyai alasan cukup kukuh untuk didakwa itu tugas SPRM dan Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Pada 28 Mac lalu, kerajaan mengambil maklum dan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan serta pertimbangan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, berhubung siasatan SPRM terhadap hakim Nazlan.
Perdana Menteri berkata, beliau telah merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan bertarikh 24 Februari itu serta pertimbangan Ketua Hakim Negara, bahawa tiada elemen kepentingan awam dalam siasatan terhadap Nazlan.
“SPRM ialah badan bebas dan berhak melakukan penyiasatan ke atas mana-mana pihak.
“Sementara itu, kaedah yang ditetapkan bagi badan kehakiman adalah dengan merujuk kepada kod etika hakim, sekiranya mempunyai asas kukuh,” katanya.
Nazlan ialah hakim perbicaraan yang mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan denda RM210 juta atas tujuh pertuduhan berkaitan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd pada 28 Julai 2020.