Tangguh Hukuman, Farid Kamil Dibenar Pulang Setelah Sebulan Dipenjara

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari untuk menangguhkan hukuman penjara sembilan bulan yang dikenakan terhadapnya selepas mengaku bersalah atas tuduhan penyalahgunaan dadah pada Mei lalu.

Penangguhan tersebut membolehkan Farid Kamil pulang ke rumah hari ini selepas sebulan meringkuk dipenjara.

Pada 15 Mei lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya mensabitkan pelakon filem Lagenda Budak Setan itu dengan kesalahan penyalahgunaan dadah itu selepas suami kepada pelakon Datin Diana Danielle memilih untuk berdiam diri pada hari pertama perbicaraan kes itu yang memasuki peringkat bela diri.

Tindakan itu menyebabkan mahkamah terpaksa membuat keputusan berdasarkan keterangan saksi dan bukti di peringkat pendakwaan.

Selain hukuman penjara sembilan bulan yang diarahkan berkuat kuasa pada hari sama, Majistret Nor Ariffin Hisham turut meletakkan pelakon itu bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Berdasarkan pertuduhan, Farid Kamil itu didapati telah menggunakan dadah jenis THC atau 11-nor-delta-9-etrahydrocannabinol-9-carboxylic acid di Pejabat Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini kira-kira pukul 4.30 petang, 11 Januari 2018.

Pendakwaan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali dan diwajibkan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.