Pemimpin Pemuda PPBM Dakwa Hanya Mahu Bantu Peniaga

Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bukit Bintang Mohd Noorhisyam Abdul Karim menafikan tuduhan mengambil wang daripada peniaga bazar di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dan sedang mempertimbangkan untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Melalui panggilan telefon kepada Malaysiakini, Mohd Noorhisyam berkata dia hanya mengutip sewa sebanyak RM6,238 seperti yang dikenakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi bayaran lesen, pembersihan dan sewa untuk lot tapak-tapak bazar berkenaan.

“Saya kutip (bayaran) cukup-cukup. Jika ada bukti saya terima duit, minta duit, kemukakan,” katanya.

Mohd Noorhisyam berkata, satu-satunya bayaran lain yang dikenakan kepada peniaga adalah yang dibayar kepada anggota exco Pemuda BERSATU (PPBM) yang menyewakan kanopi.

Tambah Mohd Noorhisyam, dia tidak tahu berapa banyak bayaran dikenakan bagi kanopi berkenaan.

“Kita tak kutip duit apa-apa (bayaran lain) daripada peniaga. Kalau ada, itu bukan kita (BERSATU Bukit Bintang),” katanya.

‘Mungkin peniaga keliru’

Ketua Pemuda BERSATU Bukit Bintang itu sebelum ini didakwa mengutip sehingga RM5,000 daripada setiap peniaga yang mahu berniaga di bazar berkenaan.

Bagaimanapun, berdasarkan tinjauan yang dibuat Malaysiakini dengan menemui peniaga bazar di sekitar Masjid India berkata mereka membayar sewa sekurang-kurangnya RM3,000.

Diminta mengulas dakwaan itu, Mohd Noorhisyam berkata “mungkin peniaga keliru” bayaran bazar itu dengan bayaran membuka gerai di pasar malam pada hari Sabtu di kawasan sama.

“Seorang peniaga memberitahu saya dia terpaksa bayar RM2,500 hanya untuk berniaga dua kali Sabtu (dua minggu, untuk setiap hari Sabtu) di pasar malam itu.

“Saya takut perkara ini dikaitkan dengan tapak saya. Saya harap benda ini tak berlaku,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Noorhisyam berkata dia hanya mahu membantu peniaga yang tidak dapat menyewa bazar daripada DBKL sempena Aidilfitri.

“Saya terkilan apabila saya cuma nak bantu tapi ini yang terjadi,” katanya.

Dia turut menjelaskan bahawa walaupun DBKL meluluskan 80 tapak untuknya namun jumlah sebenar yang diberikan hanya cukup untuk 52 tapak.

Tambahnya lagi, dia telah mematuhi prosedur yang ditetapkan bagi mendapatkan tapak bazar berkenaan dan mendakwa Anggota Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun juga meluluskan senarai peniaga yang layak berniaga dalam sebuah mesyuarat.

Dalam mesyuarat itu, katanya, dia diiringi Ketua Penerangan BERSATU Bukit Bintang Azrul Feisal Abdullah.

Fong mengesahkan perkara ini ketika dihubungi namun berkata senarai berkenaan untuk peniaga yang tidak mendapat peruntukan tapak dan bergantung kepada kelulusan daripada DBKL.

Tidak sependapat

Kata Mohd Noorhisyam, rancangannya untuk membuka bazar Ramadan sepanjang Jalan Masjid India diluluskan Timbalan Ketua BERSATU Bukit Bintang Shamsul Anuar Mohd Khairi ketika mesyuarat selepas pilihan raya umum ke-14.

Jelasnya, ketua bahagian Zailani Isausuludin tidak hadir pada mesyuarat itu kerana sukar dihubungi melalui telefon. Shamsul Anuar mengesahkan telah meluluskan cadangan Noorhisyam dengan syarat ia mengikut undang-undang.

Zailani pula turut mengesahkan dia tidak menghadiri mesyuarat berkenaan kerana mempunyai urusan lain yang perlu diselesaikan.

Zailani bagaimanapun menegaskan bahawa kelulusan daripadanya sebagai ketua bahagian masih diperlukan dan menafikan dakwaan dia sukar dihubungi.

“Awak boleh hubungi saya kan?” katanya kepada Malaysiakini.

Kedua-dua pemimpin bahagian itu dilihat tidak sependapat dengan skandal yang dikaitkan dengan Mohd Noorhisyam.

Anuar mempertahankan Mohd Noorhisyam, dengan berkata tuduhan itu dan penyebaran surat kelulusan DBKL yang diberikan kepada Noorhisyam berkemungkinan kerja orang Umno.

“Ini merupakan fitnah jahat oleh Umno yang kalah pada pilihan raya umum lalu. Siapa lagi yang tahu tentang duit ini selain mereka?” atanya.

Zailani bagaimanapun dilihat tidak percaya bahawa Mohd Noorhisyam tidak melakukan kesalahan.

“Bekas perdana menteri pun cakap dia duit dalam akaunnya datang dari mana,” katanya merujuk bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan skandal 1MDB.

Tambah Zailani, perkara ini tidak akan jadi isu jika Mohd Noorhisyam tidak menggunakan nama parti dalam urusan berkenaan.

Jelasnya, dia menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara ini.

Zailani, Ketua Pemuda BERSATU Syed Saddiq Abdul Rahmad dan Anggota Parlimen Bukit Bintang masing-masing mempertimbangkan membuat laporan kepada SPRM berhubung skandal berkenaan. – Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.