MB Selangor Tak Dapat Restu PH, Saya Dapat Sokongan Semua Parti Dalam PH – Dr Idris

PETALING JAYA – Adun Ijok Dr Idris Ahmad mendakwa pelantikan Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor yang baharu tidak mendapat “restu” Pakatan Harapan (PH).

Katanya, beliau adalah satu-satunya calon yang dipersetujui semua parti komponen PH untuk memegang jawatan tersebut.

“Saya mempunyai sokongan dari semua parti tetapi Amirudin hanya mendapat sokongan daripada Datuk Seri Azmin Ali,” katanya pada sidang media di kediamannya hari ini.

Idris sebelum ini disebut sebagai calon yang mungkin menggantikan Azmin sebagai menteri besar. Bagaimanapun, Amirudin yang juga adun Sungai Tua mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor yang baharu pagi ini.

Idris berkata beliau diberitahu Sultan Selangor mahukan 3 nama untuk dipilih. Tiga nama itu kemudiannya diserahkan iaitu Amirudin, Adun Seri Setia Shaharuddin Badaruddin dan dirinya sendiri.

“Saya juga tidak tahu mengapa mereka perlu berahsia. Nama itu sepatutnya diumumkan pada Ahad lalu untuk latihan pada Isnin,” katanya.

Selain Amirudin, Idris berkata pelantikan Azmin selepas pilihan raya lalu juga tidak disokong parti komponen PH.

Beliau berkata, pada asalnya hanya nama beliau dikemukakan kepada Sultan Selangor dan beliau mendapat sokongan daripada semua parti komponen PH.

“Hanya satu nama yang dicadangkan, iaitu nama saya. Nama saya dipersetujui semua parti dalam PH dan dihantar kepada Sultan Selangor.

“Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menghantar surat itu kepada sultan.

“Dia (Azmin) pergi ke sana (istana) sendiri,” katanya.

Beliau menambah, beliau akan bekerjasama dengan menteri besar baharu kerana beliau tidak “terdesak” untuk jawatan itu.

Bagaimanapun, beliau berasa sedih berhubung perkara itu.

“Setiap manusia mempunyai perasaan. Tetapi saya akan mengamalkan pemikiran positif bagi meneruskan kehidupan. Saya masih boleh berkhidmat di kawasan saya.” – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.