Kanak-Kanak Berusia Tiga Tahun Maut Ditikam Bapa Saudara

KUALA LUMPUR — Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut dengan 30 kesan tikaman dipercayai ditikam bapa saudaranya di kediaman keluarganya di Taman Kepong di sini, malam tadi.

Mayat kanak-kanak itu, yang ditutup dengan selimut putih, ditemui oleh neneknya di dapur rumah teres dua tingkat ketika mahu mengambil barang.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata kejadian dipercayai berlaku pada kira-kira 9.30 malam ketika mangsa bermain dengan suspek berusia 21 tahun, yang tidak menetap bersama dan hanya datang sekali-kala melawat keluarga berkenaan.

Semasa kejadian, hanya terdapat emak mangsa yang dipercayai berada di tingkat atas tidur bersama seorang bayinya manakala nenek mangsa berada di tingkat bawah, katanya ketika dihubungi.

Munusamy berkata nenek mangsa telah keluar seketika dan sekembalinya ke rumah ketika mahu mengambil barang di dapur, terkejut melihat ada kesan darah di lantai dan selimut putih menutupi sekujur tubuh.

“Apabila nenek mangsa menyelak kain putih berkenaan, nenek mangsa menjerit kerana mendapati cucu perempuannya berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.

“Sejurus itu, nenek mangsa terus ke tingkat atas untuk memberitahu emak mangsa (mengenai kejadian itu) dan pada masa sama melihat suspek berada di tingkat sama sedang bermain dengan bayi (adik mangsa),” katanya.

Munusamy berkata emak mangsa bingkas bangun dan melihat mangsa lantas meminta pertolongan jiran untuk menghantar anaknya yang sudah tidak sedarkan diri itu ke sebuah hospital swasta berhampiran.

Beliau berkata pemeriksaan badan yang dijalankan pada mangsa di hospital swasta itu mengesan terdapat 30 kesan tikaman, dipercayai akibat tusukan objek tajam.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

“Suspek ditahan di dalam rumah itu dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala motif kejadian masih dalam siasatan polis,” katanya.

Tanpa mendedahkan sama ada suspek menghidap sakit mental atau sebaliknya, beliau berkata polis hanya merampas sehelai baju dan seluar jeans panjang berwarna hitam milik suspek manakala senjata yang digunakan untuk menikam mangsa masih belum ditemui. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.