Van Rempuh Pejalan Kaki Selepas Keluar Masjid

Selepas dua minggu insiden sebuah van merempuh orang awam di kaki lima di London Bridge, kejadian hampir sama berulang lagi apabila sebuah kenderaan merempuh pejalan kaki di Finsbury Park, utara ibu kota London, tengah malam hari ini (Isnin pagi waktu Malaysia).

Kejadian berlaku ketika para jemaah meninggalkan Masjid Finsbury Park, yang mengakibatkan beberapa orang awam cedera dan tiga daripadanya mengalami kecederaan serius, lapor Sky News, hari ini, memetik MD.

Sehubungan itu, polis yang menerima laporan berhubung rempuhan itu kira-kira 12.20 tengah malam waktu tempatan dan bergegas ke lokasi kejadian berkata, mereka berhadapan dengan ‘kejadian besar’.

Memetik laporan Sky News lagi, seorang penerbitnya yang berada di tempat kejadian berkata, insiden berlaku sebaik sahaja para jemaah meninggalkan masjid pada tengah malam selepas selesai menunaikan solat terawih.

Sementara itu, Majlis Islam Britain (MCB) menerusi laman Twitter berkata: “Kami dimaklumkan sebuah van merempuh jemaah ketika mereka meninggalkan Masjid Finsbury Park. Kami mendoakan mangsa.”

Paparan video insiden yang ditonton Sky News menunjukkan beberapa orang terbaring di atas tanah, dipercayai mengalami pelbagai kecederaan, yang mana sebahagian daripada mangsa kelihatan seolah mengalami kecederaan parah.

Helikopter dan berpuluh kereta polis di hantar ke lokasi bagi mengawal kawasan kejadian selepas insiden itu.

Dalam pada itu, seorang saksi, Cynthia Vanzella memberitahu Sky News, ketika rempuhan berlaku dia mahu bersiap untuk tidur sebelum kedengaran bunyi bising yang kuat di luar kediaman.

Dia berkata: “Saya melihat ramai orang berteriak, memenuhi separuh daripada Seven Sisters Road, saya fikir sesuatu yang buruk telah berlaku.

“Saya dapat melihat sekurang-kurangnya dua orang terbaring di kaki lima, tidak bergerak. Ada dalam kalangan mereka mengusap bahagian dada. Ia sesuatu yang teruk untuk dilihat.”

“Ada orang yang duduk di lantai dengan tangan di kepala mereka. Dalam masa beberapa saat, kereta polis tiba di sini. Mereka sangat pantas,” tambahnya, seperti dilapor Sky News.

Dalam perkembangan lain, Daily Star melaporkan seorang lelaki berjaya ditahan dipercayai terlibat dalam rempuhan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.