FAMA Jumpa Petani Harumanis

KUALA LUMPUR  – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan mengadakan pertemuan dengan petani mempelam harumanis di Perlis, selain jabatan dan agensi terlibat untuk membincangkan pelan pemasaran komprehensif tanaman itu, kata Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Ishak.

Beliau berkata, perjumpaan yang akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri itu juga bagi membincangkan usaha meningkatkan kualiti dan standard buah tersebut.

“Kita akan membetulkan kelemahan yang ada dalam industri harumanis seperti isu menuai sebelum buah matang, aspek penggredan buah dan penentuan harga supaya kita dapat letakkan buah harumanis ini di tahap atau standard tertentu,” katanya lapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permintaan petani mempelam harumanis di Perlis yang mahukan FAMA membantu memasarkan hasil tanaman mereka.

Katanya, FAMA selaku agensi yang menyediakan pemasaran pertanian bersedia membantu petani mempelam harumanis.

Malah, jelasnya FAMA telah mengadakan pelbagai program termasuk menyediakan tempat khusus di Lembah Klang untuk pengusaha harumanis menjual terus buah itu kepada pengguna selain mempromosi makanan berasaskan isi buah berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.