Orang Kuale Pemenang Sebenar, Kata Mastura

BUKIT CHANDAN – “Pada saya, orang Kuala Kangsar adalah pemenang sebenarnya.”

 

Demikian kata calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid sejurus nama beliau diumumkan sebagai pemenang PRK Kerusi Perlimen Kuala Kangsar, malam tadi.

 

Baginya, ‘orang Kuale’ telah memutuskan apa yang mereka mahu dan beliau turut mendedikasikan kemenangan itu kepada arwah suaminya, Datuk Wan Mohammad Khair-Il Anuar Wan Ahmad.

 

“Tanpa usaha dan kerja beliau yang baik, tanpa kasih sayangnya kepada orang Kuala Kangsar, saya tidak akan berada di mana tempat saya berada sekarang.

 

“Perkara pertama yang akan saya buat selepas ini adalah mendapatkan nasihat ilmuan agama mengenai idah saya. Saya ingin melawat semua kampung di Kuala Kangsar.

 

“Saya mahu berkhidmat untuk rakyat di sini seperti mana arwah suami saya buat dulu,” katanya dalam sidang media khas di rumahnya, di sini, malam tadi.

 

Tambah Mastura, majoriti besar yang diperolehnya merupakan manifestasi penerimaan rakyat Kuala Kangsar terhadap arwah suaminya.

 

“Pada PRU yang lepas, saya rasa majoriti diperoleh arwah tidak setimpal selepas melihat sendiri betapa responsifnya rakyat terhadap Datuk Wan.

 

“Mungkin majoriti saya peroleh hari ini adalah bukti penerimaan rakyat kepada beliau. Saya rasa orang Kuale tahu apa yang mereka mahu.

 

“Mereka juga telah terjemahkannya secara jelas dan nyata,” ujarnya.

 

Sementara itu, beliau berkata dirinya memerlukan sokongan penduduk Kuala Kangsar untuk memastikan perjuangan dapat diteruskan serta segala agenda pembangunan mampu dilaksanakan.

 

Beliau juga melahirkan rasa terharu dengan pengorbanan jentera BN yang bersungguh-sungguh membantunya meskipun beliau tidak dapat keluar berkempen.

 

“Setiap keringat mereka akan saya balas dengan iltizam dan kerja keras untuk merealisasikan lima agenda yang telah saya kemukakan sejak awal kempen lagi.

 

“Amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada saya akan cuba dilaksanakan dengan sepenuh daya serta usaha,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.