Tukang Masak Kapal MT Orkim Harmony Cedera Ditembak

KUALA LUMPUR – Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TDLM) Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengesahkan seorang kru kapal MT Orkim Harmony telah ditembak di paha kiri ketika kapal itu dirampas pada 11 Jun lepas.

 

Beliau berkata kru yang cedera itu merupakan seorang tukang masak warganegara Indonesia.

 

“Tukang masak itu ditembak oleh seorang daripada perampas manakala kesemua 21 kru yang lain selamat.

 

“TLDM akan siasat punca berlaku kes tembak terhadap tukang masak itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

 

Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada pukul 8.57 malam, 11 Jun lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.

 

Kapal yang dimiliki oleh Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal terdiri 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar.

 

Kesemua 22 anak kapal itu berjaya dibebaskan kira-kira pukul 2.30 pagi ini.

 

Pembebasan kru kapal itu adalah menerusi rundingan TLDM dengan perampas kapal berkenaan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.