Sengsara 73 Tahun Sudah Berakhir

KOTA BHARU – Terumbang ambing dan kesengsaraan seorang warga emas hidup dalam sebuah stor tanpa kad identiti diri lebih 70 tahun lalu berakhir selepas menerima kad pengenalan serta surat beranak daripada Jabatan Pendaftaran Negara, di sini, semalam.

 

Asmah Deraman, 73, hanya mampu mengalirkan air mata kegembiraan sambil berkata, itu kali pertama dalam hidupnya merasa mempunyai dan memegang sekeping kad pengenalan apabila keciciran dalam membuatnya selepas dilahirkan kerana masalah peribadi.

 

“Sebelum ini apabila sakit, mak cik kena beli ubat sendiri. Dahulu, makcik banyak menangis kerana hal ini dan sekarang tidak lagi dan mak cik sudah boleh tersenyum.

 

“Dahulu hendak ke klinik pun tidak boleh. Kini apabila ada kad pengenalan, ia amat membantu untuk mendapatkan rawatan sekiranya sakit ditambah dengan usia yang sudah lanjut,” katanya ketika ditemui menerima kad pengenalan itu di Wisma Persekutuan, di sini, semalam.

 

Dokumen tersebut Pengarah JPN negeri, Nafisah Abdullah kepada Asmah di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara Kelantan.

 

Asmah berkata, selepas ini dia cadang ke Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mohon bantuan memandangkan kehidupannya yang serba daif serta selalu berpindah randah.

 

“Sudah lebih 20 tempat makcik pindah sebab tidak ada kad pengenalan, tidak dapat kerja, tidak ada duit hendak bayar sewa rumah. Apabila sudah ada kad pengenalan ini hasrat untuk bekerja pun jadi mudah memandangkan gaji yang akan dibayar dengan setimpal.

 

“Terima kasih dari hujung rambut hingga hujung kaki kepada JPN, setinggi gunung harapan makcik kepada JPN kerana sebelum ini makan pun tidak senang asyik berfikir akan kekurangan ini,” katanya.

 

Sementara itu, Nafisah berkata, pihaknya mengambil pendekatan turun padang selepas menerima makluman pada awal April lalu mengenai keadaan Asmah yang mendakwa tidak pernah mempunyai sebarang kad pengenalan mahupun surat beranak sejak lahir.

 

Beliau juga menyeru orang ramai agar terus ke JPN dan tidak melalui orang tengah dalam menyelesaikan isu seumpamanya.

 

“Setelah mendapati kes ini kukuh kita meminta pengadu ini mengambil borang daftar lewat kelahiran selain memberi penerangan cara-cara mengisi borang tersebut.

 

Hasil pemeriksaan latar belakang mendapati dia memang warganegara yang layak memiliki kad pengenalan dan mungkin hanya kerana keciciran daripada arwah ibu bapanya untuk mendaftarkan kelahirannya pada masa dahulu,” katanya.

 

Kisah keperitan hidup Asmah yang tinggal di dalam bilik stor di belakang sebuah Medan Selera di Jalan Kebun Sultan, di sini, beberapa kali disiarkan Sinar Harian bagi membantu dan meringankan penderitaan wanita itu.

 

Asmah tinggal seorang diri di dalam stor tersebut dan bekerja sebagai tukang cuci dengan gaji RM200 serta RM100 daripada gaji tersebut digunakan untuk membayar sewa bilik, manakala selebihnya dicatu RM5 sehari untuk makan, sementara air minuman pula hanyalah air paip. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.