Pemimpin PKR Desak Polis Siasat Tunku Idris Bawah Akta Hasutan

KUALA LUMPUR – Bekas calon PKR bagi Parlimen Sabak Bernam, Abdul Aziz Bari hari ini mendesak pihak polis menyiasat Tengku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim di bawah Akta Hasutan 1948.

 

Abdul Aziz berkata siasatan itu penting bagi menentukan sama ada muat naik salinan media oleh Tunku idris yang membayangkan hak Johor untuk keluar dari Malaysia bersifat menghasut atau sebaliknya.

 

“Dalam apa jua kes, Peguam Negara dan pasukan polis perlu membuat pendirian sama ada putera raja tersebut melanggar undang-undang, khususnya Akta Hasutan 1948,” kata Abdul Aziz dipetik dari Malaysiakini.

 

Pemimpin PKR yang digelar sebagai pakar perlembagaan oleh kebanyakan penyokong parti itu juga menegaskan Putera Sultan Johor itu tidak kebal dari segi undang-undang.

 

“Jabatan (Peguam Negara) ini bertanggungjawab untuk menguatkuasa undang-undang dengan adil ke atas semua rakyat; putera raja Johor tidak kebal daripada undang-undang.

 

“Hanya sembilan orang raja-raja Melayu yang menikmati keistimewaan ini, tertakluk kepada peruntukan mahkamah khas untuk raja-raja,” kata Abdul Aziz dalam laporan yang sama.

 

Abdul Aziz berkata demikian ketika mengulas petikan salinan perjanjian lama yang dimuat naik oleh Tunku Idris di laman sosial Instagram baru-baru ini.

 

Perjanjian lama pada tahun 1946 itu antara lainnya menyebut Johor akan terpisah dari Malaysia secara automatik sekiranya syarat-syarat penyertaan negeri itu ke dalam Persekutuan Tanah Melayu dicabuli.

 

Melalui kenyataan yang sama Abdul Aziz menjelaskan semua perjanjian lama termasuk yang dimuat naik oleh Tunku Idris telah terbatal setelah wujudnya Perlembagaan Persekutuan.

 

“Undang-undang asas pada masa ini ialah Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah undang-undang yang menentukan hubungan dan hak di antara negeri dan kerajaan pusat.

 

“Putra Johor mungkin ada hujah tetapi dia perlu tumpukan dalam konteks dan skema Perlembagaan Persekutuan.

 

“Sesuatu perjanjian pada masa lalu sudah kehilangan keabsahan dan kuasa, apabila ada Perlembagaan Persekutuan, undang-undang paling agung di tanah ini,” kata pemimpin PKR itu lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.