Lanun Gagal Jual Minyak Muatan Kapal MT Orkim Harmony

PUTRAJAYA – Cubaan sekumpulan lanun menjual minyak petrol RON95 bernilai RM21 juta yang dibawa oleh MT Orkim Harmony selepas berjaya merampas kapal itu di Timur Laut Tanjung Sedili, Johor tujuh hari lalu musnah apabila muatan petrol RON95 berjumlah hampir 6,000 tan metrik itu ditemui masih `selamat’.

 

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Ma­ritim Malaysia (Maritim Malaysia), Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, perkara tersebut telah disahkan oleh pemilik kapal itu, Magna Meridian Sdn. Bhd berdasarkan foto kapal terkini yang dirakam oleh pesawat P-3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia selepas berjaya mengesan kedudukan kapal itu, pada pukul 6 petang semalam.

 

Beliau berkata, berdasarkan kepada kepakaran syarikat berkenaan, selepas melakukan perban­dingan antara foto itu dengan foto sebelum ini jelas menunjukkan muatan petrol RON95 yang dibawa oleh kapal itu masih tidak terjejas.

 

“Antara kaedah untuk mengetahui sama ada muatan minyak petrol itu terjejas atau tidak adalah dengan melihat kedudukan antara kapal itu dengan laut. Berdasarkan foto yang dirakam oleh pesawat P-3C Orion, pemilik kapal itu mengesahkan kedudukan kapal berkenaan begitu rendah dengan laut.

 

“Itu menunjukkan kapal ber­kenaan masih dipenuhi dengan muatan. Sekiranya muatan petrol itu berjaya dipam keluar sudah tentu kedudukan kapal ini dengan laut lebih tinggi berbanding sekarang,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Maritim Malaysia di sini hari ini.

 

Utusan Malaysia pada 15 Jun lalu melaporkan kapal tangki itu telah dilarikan selepas sindiket lanun di Laut China Selatan mengetahui kapal tersebut membawa muatan petrol RON95 bernilai RM21 juta.

 

Bagaimanapun Ahmad Puzi dalam laporan akhbar tersebut berkata, disebabkan bahan yang hendak dijual itu adalah petrol RON95 dan langkah mengeluarkan bahan api tersebut daripada tangki kapal memerlukan prosedur khas, berkemungkinan besar usaha mencari pembeli di sekitar kepulauan berhampiran perairan negara agak sukar. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.