‘Kucing Kurap’ PKR Dakwa Tun Mahathir Pengecut

PETALING JAYA – Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghina dan menggelar Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin ‘kucing kurap’ membuktikan negarawan tersebut sebagai pengecut.

 

Itu komen Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkata, Dr Mahathir hanya berani berkata sedemikian di hadapan 50 orang kaki sorak dan kaki ampu pemimpin tersebut.

 

Menurut Chegu Bard, beliau tanpa berselindung dengan rasa rendah diri merakamkan rasa bangga kerana berjaya membuktikan Dr Mahathir sebagai penakut.

 

“Semua orang tahu semalam, Dr Mahathir telah buat perjumpaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seramai 50 orang yang sememangnya penyokong beliau sendiri yang dah disuap kenyang.

 

“Sudahlah dia tolak jemputan, dia hina saya pula tetapi adakah saya rasa terhina? Saya tidak rasa terhina,” katanya semasa sidang media hari ini.

 

Minggu lalu, Chegubard telah mencabar Dr. Mahathir agar tampil sebagai panel untuk sesi “Hot Seat” #Nothing2Hide” bagi menjawab persoalan dan dakwaan yang timbul sewaktu pentadbirannya selama 22 tahun.

 

Namun begitu, semalam sewaktu menghadiri majlis bersama 50 NGO anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, Dr Mahathir menolak jemputan tersebut dan mengatakan tidak melayan ‘kucing kurap’ Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kemudianya menjadi viral di laman sosial.

 

Tambah Chegubard yang juga bekas Ketua Cabang PKR Rembau itu lagi, sebagai seorang tokoh negarawan yang telah berumur 90 tahun, beliau tidak seharusnya panik serta tertekan dengan cabaran yang dibuatnya.

 

Jelasnya, Dr Mahathir terpaksa menggunakan bahasa kesat di depan orang ramai dan juga pihak media yang mana telah memalukan imejnya sendiri.

 

Sementara itu, Chegu Bard menangkis bahawa dia terlibat dan dibayar oleh penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat serangan ke atas Dr Mahathir.

 

Ujarnya, tindakannya itu adalah semata-mata untuk mendedahkan penjenayah terbesar dalam negara.

 

“Najib dah ramai orang serang dan siapa nak tuduh saya, tuduhlah. Bagi saya kalau nak jatuhkan Najib, biarlah rakyat yang jatuhkan bukannya Dr. Mahathir.

 

“Sebelum ini, beliau telah jatuhkan Pak Lah dan dianggap reformis, hebat dan suci sedangkan dia penjenayah besar.

 

“Saya tidak membela Najib, dalam tulisan saya banyak menyerang dan mendedahkan mengenai apa yang dibuat oleh beliau selama ini,” tegasnya. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.