Kapten MT Orkim Harmony Diugut Ketua Perampas

KUALA LUMPUR – Kapten kapal tangki MT Orkim Harmony, Nor Fazly Sahat mendedahkan dia diugut ketua lanun, bahawa keluarganya akan menerima ancaman jika mendedahkan rancangan perompak terbabit yang bertindak meninggalkan kapal itu, malam tadi.

 

Perkara itu dimaklumkan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

 

Beliau berkata, hal itu hanya dimaklumkan kapten berkenaan kepada KD Terengganu pada jam 12.55 tengah malam iaitu selepas lima jam kumpulan perompak itu melarikan diri.

 

Tindakan itu katanya dilakukan Nor Fazly demi memastikan keselamatan keluarganya, berikutan sebelum melarikan diri, perompak terbabit telah mengambil butiran peribadinya.

 

“Kapten kapal ketika dihubungi, berada dalam ketakutan dan turut memaklumkan bahawa kesemua 22 kru kapal berada dalam keadaan sihat dan selamat kecuali seorang yang cedera.

 

“Muatan kapal Unlead Gasolin (ULG95) iaitu minyak petrol RON95 hampir 6,000 tan matrik bernilai RM21 juta selamat di dalam kapal tangki ketika ditemui,” katanya.

 

Beliau berkata, seorang kru yang cedera terkena tembakan, iaitu tukang masak warga Indonesia telah diterbangkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan menaiki pesawat EC725 dan telah selamat tiba pada jam 10.15 pagi tadi.

 

Abdul Aziz berkata, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga sudah meminta kerjasama pihak tentera Vietnam, Indonesia dan Thailand dalam memberkas kumpulan perompak itu.

 

“Tentera Laut Indonesia telah bersetuju mencari kumpulan perompak itu di perairan kepulauan Natuna.

 

“Persetujuan ini telah di suara dan dinyatakan oleh Kepala Staf Angkatan Laut Indonesia, Laksamana Ade Supandi kepada Panglima Tentera Laut melalui perbualan telefon dan teks pesanan ringkas awal pagi ini,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.