DUN Selangor Mungkin Dibubarkan – DAP

KUALA LUMPUR – DAP tidak menolak kemungkinan Dun Selangor akan dibubarkan berikutan kemelut yang berlaku dalam Pakatan Rakyat.

 

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata, pembubaran Dun adalah jalan terakhir yang akan dipilih jika masih tiada penyelesaian.

 

“DAP akan berjumpa Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali bagi membincangkan pilihan yang ada untuk menyelesaikan masalah.

 

“Namun, saya tidak boleh memberitahu pilihan yang ada. Biar pilihan itu ditetapkan terlebih dahulu sebelum diumumkan,” katanya.

 

Beliau yang juga Ahli Parlimen PJ Utara berkata, sebarang keputusan diambil tidak akan meminggirkan hak rakyat Selangor.

 

“Kami akan dengar pilihan yang diutarakan Azmin, jika sesuai, kami akan ikut (pilihan itu). Kami memang mahu selesaikan secara baik, ” katanya.

 

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, tidak ada sebab membubarkan Dun Selangor.

 

Menurutnya, PKR dan DAP sepakat pentadbiran di Selangor perlu diteruskan walaupun PR tidak dapat diselamatkan lagi.

 

“DAP dan PKR bersetuju Mohamed Azmin Ali kekal sebagai Menteri Besar untuk menerajui pentadbiran negeri ini,” katanya.

 

Mengulas cadangan bekas Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar yang menggesa PKR memilih Pas atau DAP bagi meneruskan kerjasama di Selangor, Rafizi berkata:

 

“Itu pendirian dia, dan tertakluk kepada keputusan Pas. Tetapi dalam soal kerajaan baik di Kelantan, baik di Selangor atau Pulau Pinang, ia tertakluk kepada peraturan demokrasi untuk menubuhkan kerajaan iaitu perlembagaan negeri ini menetapkan seperti juga di Parlimen.

 

“Sesiapa atau seorang ahli dewan yang mendapat majoriti dari ahli dewan lain boleh menubuhkan kerajaan.” – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.