DAP Jangan Angkuh Sangat Pecat Wakil PAS

SHAH ALAM – Pemuda Pas hari ini mengingatkan DAP bahawa Pas tetap mempunyai hak di Pulau Pinang walau hanya satu kerusi diwakili oleh parti Islam itu.

 

Timbalan Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi mendakwa khabar terbaharu yang menyebut pimpinan DAP itu membuat U-turn mungkin kerana mahu  ‘menunggu’ keputusan Majlis Syura Ulama yang masih belum memutuskan sebarang keputusan terhadap usul putus hubungan yang diluluskan dalam muktamar  lalu.

 

“Pulau Pinang Darul PR atau Darul DAP ? Apa yang penting Pulau Pinang adalah sebahagian daripada bumi yang menjadi milik ALLAH.

 

“Di Pulau Pinang walaupun wakil Pas hanya satu kerusi sahaja tetapi kami pun ada hak. Dan kami telah bersetuju di dalam musyawarah induk Pas untuk menyerahkannya kepada Majlis Syura Ulama untuk memutuskannya.

 

“Dengar khabar LKS (Lim Kit Siang) dan LGE (Lim Guan Eng) dah ‘U-turn’. Barangkali nak tunggu keputusan MSU juga,” katanya melalui catatan terbaharu di Facebook, hari ini.

 

Selasa lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa gabungan pembangkang, PR sudah tidak wujud lagi (cease to exist) namun dua hari kemudian Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula menegaskan bahawa parti itu tidak pernah membuat pengumuman untuk menamatkan riwayat PR.

 

Dalam pada itu, Muhammad Khalil menasihatkan agar DAP tidak angkuh dalam memecat dan meminta wakil Pas meletakkan jawatan kerana kuasa yang dimiliki itu hanya bersifat sementara.

 

“DAP jangan angkuh sangat nak berhentikan orang itu dan nak minta orang ini supaya meletak jawatan. Ingat kuasa itu hanya sementara, Allah boleh beri dan Allah boleh tarik bila-bila masa. Sama juga macam Umno jangan ingat boleh memerintah sampai bila-bila.

 

Apabila tiba masa akan jatuh juga sama ada dengan PR atau dengan apa cara sekalipun.

 

“Orang menjangkakan Soviet Union akan kalah dengan Amerika Syarikat tetapi ianya jatuh tersungkur dengan tangan-tangan pihak komunis sendiri yang ‘murtad’ daripada ideologi komunis. Adakah Umno juga akan menerima nasib yang sama. Tunggu dan lihat,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.