Banduan Bersyukur Diberi Pengampunan, Dibebaskan

TAPAH – Kesemua 11 banduan yang diberi pengampunan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Persidangan Lembaga Pengampunan Negeri Perak Darul Ridzuan Bilangan 2/2015, semalam dibebaskan dari Penjara Tapah, di sini, 9 malam semalam.

 

Mereka yang dipenjarakan selama 10 bulan bermula Mac lalu kerana terbabit dalam perhimpunan haram di hadapan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar, dekat sini dibawa keluar menaiki bas Jabatan Penjara Malaysia sebelum diturunkan di luar pintu utama penjara dengan disambut ahli keluarga masing-masing.

 

Seorang daripada yang dibebaskan Zulhaizam Zulkifli, 31, berkata dia bersyukur kerana diberi pengampunan oleh Sultan Perak sekaligus membolehkannya berpuasa serta menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

 

“Terima kasih kepada baginda Sultan Perak kerana memberi perkenan mengampunkan kami dan membebaskan kami sempena Ramadan ini.

 

“Saya rasa bersyukur dan berterima kasih kerana dapat bertemu ibu-bapa, isteri serta tiga anak termasuk seorang yang ketika saya mula dipenjarakan baru berusia lima hari,” katanya ketika ditemui sejurus dibebaskan.

 

Bercerita pengalaman dipenjarakan selama kira-kira tiga bulan, Zulhaizam berkata, dia menggunakan sepenuh masa yang ada bagi memperbaiki diri dengan mendalami ilmu agama.

 

Menurutnya, mungkin pada pandangan masyarakat, penjara adalah satu tempat yang ‘hitam’ namun sebenarnya masih banyak perkara positif yang boleh kita belajar di dalamnya.

 

Sementara itu, seorang lagi yang dibebaskan Bad Latif Mansor, 49, berkata, mereka dimaklumkan berhubung pembebasan mereka sebelum masuk waktu berbuka puasa hari ini dan berasa sangat bersyukur serta gembira dengan berita baik itu.

 

“Terima kasih Sultan Perak kerana memberikan pengampunan. Kami sudah menjangkakan perkara ini, selepas seorang daripada rakan kami sudah diberikan perkenan sama pada istiadat pertabalan pada Mei lalu.

 

“Susulan daripada pengampunan rakan terbabit, kami membuat rayuan dan memohon pengampunan daripada baginda sultan, Alhamdulilah rayuan kami diterima,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.