Tumbuk Warga Asing: Dua Beradik Dipenjara Dan Didenda

Kuala Lumpur – Tindakan dua beradik menumbuk muka dan perut seorang warga asing mengundang padah apabila mereka dihukum penjara empat hari dan denda RM300 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Sharil Anuar Sahri, 22, dan Mohd Sahrul Nizam Sahri, 26, mengaku melakukan perbuatan itu terhadap Abi Waqas, 25, sehingga menyebabkan kedua-dua mata mangsa lebam.

Ashraf Rezal turut menasihati kedua-dua tertuduh agar tidak melakukan kesalahan sama pada masa akan datang dan memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara 10 hari, jika gagal membayar denda.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di City One Plaza, Jalan Munshi Abdullah di sini pada kira-kira 8 malam 11 Jun lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, ketika merayu hukuman ringan, kedua-dua beradik yang tidak diwakili peguam memaklumkan mahkamah mereka kesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Mengikut fakta kes yang dibentang Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean Ling, Abi Waqas dipukul secara tiba-tiba oleh kedua-dua tertuduh tanpa diberi peluang memberi penjelasan selepas mangsa didakwa bercerita kepada orang lain tentang diri mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.