Piala Dunia: Ochoa Pamer Aksi Menakjubkan

Fortaleza: Penjaga gol tidak ternama Mexico mencuri perhatian pada saingan Piala Dunia awal pagi semalam apabila hampir bersendirian menghalang asakan pemain, Brazil di gawangnya sekali gus memberikan pasukannya keputusan seri 0-0 yang amat berharga. 

Selepas minggu pembukaan temasya yang didominasi penjaring gol, Guillermo Ochoa menemui saat terbaik buat dirinya ketika aksi Kumpulan A antara Mexico dan Brazil, awal pagi semalam. 

Ochoa melakukan aksi menakjubkan untuk menepis tandukan Neymar selain beberapa tindakan hebat menyelamatkan gawangnya seterusnya melewatkan Brazil daripada terus mara ke kelompok 16 pasukan terbaik pusingan kalah mati. 

Tidak memiliki kelab 

Pemain berusia 28 tahun itu yang tidak memiliki kelab selepas kontraknya dengan AC Ajaccio dari Perancis tamat, berjalan di sekeliling padang sebagai penghormatan selepas mencipta persembahan antara paling hebat pada Piala Dunia. 

Hero bola keranjang, Kobe Bryant mengucapkan “OCHOA!! Menakjubkan” dalam Twitter tidak sampai seminit selepas permainan tamat. 
“Itukah persembahan terhebat sepanjang karier saya? Tidak diragui lagi. 

“Ia adalah yang terbaik, bermain pada Piala Dunia menentang Brazil di Brazil dan tidak melepaskan sebarang gol, ia pasti adalah yang terbaik,” kata Ochoa. 

Keputusan seri paling berharga itu meletakkan Mexico setaraf Brazil dengan empat mata daripada dua perlawanan. 

Ketika Ochoa berhak menerima semua sanjungan, Brazil menamatkan perlawanan dengan hati yang lega untuk sekurang-kurangnya memungut satu mata. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.