SOP perlombongan REE telah disedia, diedar kepada semua kerajaan negeri sejak Disember 2023, Nik Nazmi sanggah Sanusi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tuduhan bahawa Kerajaan Persekutuan sengaja melambatkan pembangunan negeri adalah satu tohmahan yang tidak tepat.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad malah menegaskan, Kerajaan Persekutuan sentiasa komited memastikan pembangunan sektor mineral dijalankan secara bertanggungjawab dan lestari, bukan sahaja demi kemajuan ekonomi, tetapi juga demi kesejahteraan generasi akan datang tanpa mengira mana-mana negeri.

Malah beliau tegaskan adalah amat penting untuk semua pihak, termasuk pemimpin negeri berpegang kepada fakta dan tidak menjadikan dasar sumber asli sebagai alat polemik politik.

Nik Nazmi berkata, rakyat lebih memerlukan kerjasama erat di antara kerajaan Persekutuan dan negeri untuk mencapai kemajuan yang sebenar.

“Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah meneliti kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor dalam laporan media Sinar Harian bertarikh 16 Mei 2025 bertajuk “Sanusi dakwa SOP REE dilengahkan, halang kemajuan negeri SG4. Berdasarkan laporan media tersebut, beliau mendakwa seolah-olah berlaku kelewatan disengajakan oleh Kerajaan Persekutuan dalam mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi perlombongan unsur nadir bumi (REE), dengan niat menghalang kemajuan negeri-negeri SG4.

“NRES ingin menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak berasas. Isu ini telah dijelaskan secara terbuka melalui kenyataan media bertarikh 29 Oktober 2024. SOP Perlombongan REE di Malaysia telah disediakan dan diedarkan kepada semua Kerajaan Negeri melalui surat bertarikh 20 Disember 2023. SOP ini merangkumi panduan lengkap dari sudut teknikal, pematuhan alam sekitar, pemulihan kawasan lombong serta kawal selia pengeksportan.

“SOP yang dimaksudkan adalah dokumen rujukan menyeluruh berasaskan perundangan sedia ada. la telah disusun untuk membolehkan Kerajaan Negeri menyesuaikan pelaksanaannya mengikut undang-undang negeri masing-masing. Sehubungan itu, sebarang kelewatan atau kekangan pada peringkat negeri tidak seharusya diletakkan sepenuhnya di bahu Kerajaan Persekutuan,” jelas Nik Nazmi.

Selain itu ujarnya, kementerian turut menegaskan bahawa sebarang aktiviti perlombongan REE adalah dilarang di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK), kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS), dan kawasan rizab perlindungan.

“Bagaimanapun, aktiviti di kawasan lain masih boleh diteruskan, tertakluk kepada pematuhan dasar, akta dan garis panduan yang ditetapkan.

“Berkaitan kenyataan kononnya SOP bagi eksplorasi REE masih belum disediakan, perlu ditegaskan bahawa aktiviti eksplorasi adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Sebagai contoh, di Kedah, ia telah termaktub dalam Enakmen Mineral Kedah 2004 melalui Lesen Mencari Gali dan Lesen Menjelajah.

“Oleh itu, isu ini tidak seharusnya dibangkitkan seakan-akan tiada garis panduan yang wujud,” tegas beliau.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah mendakwa kelewatan pengeluaran prosedur operasi standard (SOP) perlombongan unsur nadir bumi (REE) oleh kerajaan Persekutuan seolah-olah disengajakan bagi menghalang negeri-negeri di bawah gagasan empat negeri Perikatan Nasional (SG4) daripada lebih maju.

Menurut beliau, negeri-negeri SG4 khususnya Kedah, Kelantan dan Terengganu mempunyai sumber REE yang sangat banyak dan berpotensi besar untuk menjana pendapatan lumayan sekiranya diteroka secara sah.

Namun katanya, beliau kesal kerana sehingga kini SOP bagi mengekstrak galian tersebut masih belum dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

“Paling banyak sekali REE ada di SG4. Sebab itu saya agak mereka tak berani keluarkan SOP. Kalau keluarkan SOP (untuk perlombongan), kayalah negeri-negeri SG4, termasuk Kedah. Saya agak begitu.

“Tetapi sehingga kini, SOP untuk melombong REE masih belum dikeluarkan oleh kementerian berkenaan, meskipun sudah berkali-kali sesi libat urus dijalankan,” katanya.

Sanusi berkata, sumber REE merupakan antara pencapaian besar yang dimiliki negeri SG4, namun ia tidak boleh diiktiraf sebagai sumber pendapatan selagi belum diusahasilkan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat