KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar perlu menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja boleh memimpin parti tetapi juga negara.
Calon Naib Presiden PKR Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, PKR perlukan Timbalan Presiden yang boleh membantu parti membawa kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan pada masa sama Timbalan Presiden juga akan mewakili kerajaan yang boleh membantu mengurus tadbir negara dengan baik.
“Dua-dua bagus, dua-dua ada kekuatan masing-masing. Nurul Izzah memperkasakan wanita, Rafizi memperkasakan ekonomi.
“Kita perlukan kepimpinan yang kuat, yang boleh memimpin kita untuk tahun-tahun akan datang dan untuk negara kita menuju ke arah yang betul,” memetik laporan Utusan.
Katanya, akar umbi parti perlu membuat pilihan bukan hanya untuk PRU tapi juga untuk memilih barisan kepimpinan yang akan mentadbir negara.
“Sebab jika kita menang PRU, mereka yang akan dipilih dalam barisan kepimpinan parti untuk memimpin kerajaan. Jadi kalau akar umbi buat silap, kesilapan ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada parti tapi juga kepada negara, ini kebimbangan saya.
“Permintaan saya kepada akar umbi supaya buat keputusan yang adil dan bijak terhadap siapa yang mereka pilih sebab pilihan mereka bukan untuk parti sahaja tapi untuk negara,” katanya.
Katanya, sepanjang tempoh kempen pemilihan parti ketika ini, majoriti akar umbi parti menyokong kedua-dua kepimpinan Rafizi dan Nurul Izzah kerana mereka dianggap sebagai pemimpin masa depan parti.
“Bagi saya, siapa yang dekat di hati, siapa yang akar umbi rasa boleh buat kerja, mereka boleh buat keputusan. Undi itu rahsia tapi mereka tahu siapa yang boleh buat kerja. Mereka tahu siapa yang mereka mahu pilih. Dua-dua boleh buat kerja,” katanya.
Namun, katanya, perebutan jawatan antara Rafizi dan Nurul Izzah tidak akan memecahbelahkan parti berdasarkan kepada kempen pemilihan yang telah bermula sejak minggu lalu.
“Kedua-duanya tidak mengecam satu sama lain. Mereka bersikap adil. Saya tidak nampak Rafizi mengatakan perkara buruk kepada Nurul Izzah atau Nurul Izzah mengatakan perkara negatif kepada Rafizi.
“Persaingan mereka sihat. Dalam ucapan-ucapan mereka, tidak ada sesiapa pun yang cuba menjatuhkan satu sama lain. Inilah demokrasi. Saya tidak melihat pemilihan ini sebagai perpecahan tetapi lebih kepada meraih sokongan, siapa sokong siapa,” katanya.
Pemilihan PKR 2025 peringkat pusat akan diadakan pada 23 Mei ini melibatkan pemilihan jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Angkatan Muda Keadilan dan Majlis Pimpinan Wanita Pusat.
Ini kali ketiga Rafizi bertanding jawatan Timbalan Presiden selepas pertama kali melakukannya pada 2018 apabila beliau tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan menang pada 2022 dengan menewaskan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.