500 kakitangan KKM diserap masuk AKPS untuk banteras, kawal sebaran penyakit bahaya masuk dalam negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), jabatan tunggal mengawal selia sempadan yang dijangka beroperasi sepenuhnya bulan depan diperkukuhkan dengan penyerapan kira-kira 500 kakitangan dari Kementerian Kesihatan (KKM).

Kumpulan kakitangan KKM itu akan ditugaskan sebagai penguat kuasa AKPS bagi membanteras dan mengawal ancaman kesihatan berbahaya seperti penyebaran penyakit berjangkit dan haiwan pembawa penyakit zoonotik masuk ke dalam negara.

Memetik laporan BH, sejak beberapa bulan lalu, KKM sudah menyenaraikan sejumlah 424 pegawainya untuk diserapkan ke dalam agensi itu bagi melaksanakan tiga bidang keutamaan iaitu membabitkan pemeriksaan, kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara.

Sebelum ini, difahamkan aspek kesihatan di sempadan dikendalikan oleh KKM sendiri sebagai antara agensi yang berada di barisan hadapan di sempadan bersama kakitangan agensi lain seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan sudah meluluskan 6,813 perjawatan untuk menyertai AKPS yang berfungsi sebagai agensi tunggal di sempadan, menyatukan kepakaran dan sumber dari pelbagai jabatan kerajaan untuk menyelaraskan operasi di 141 pintu masuk negara.

KKM berkata, selepas pegawai berkenaan menyertai AKPS, semua urusan kawalan kesihatan termasuk mengesan risiko penyakit berjangkit akan berada di bawah agensi tunggal itu.

“Mereka akan membantu mengesan risiko penyakit berjangkit, pemantauan status kesihatan dan pelaksanaan langkah kawalan serta pencegahan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA). Ia bagi memastikan pematuhan kepada perundangan kesihatan dan keselamatan yang berkuat kuasa.

“Selain itu, penguat kuasa berkenaan juga akan melaksanakan tindakan pengawalan membabitkan barangan seperti makanan, dadah, racun, kosmetik serta produk lain berkaitan dengan kesihatan yang dibawa masuk atau keluar dari Malaysia,” lapor akhbar itu.

Mengulas lanjut, KKM berkata, tarikh pemindahan kakitangan kementerian itu akan dilaksanakan berdasarkan keperluan semasa.

Ditanya sama ada KKM mungkin berdepan kekurangan kakitangan susulan penyerapan sejumlah petugasnya ke AKPS, jelasnya, perkara itu tidak akan berbangkit.

“Ia tidak akan memberi kesan kerana mereka menjalankan tugas sedia ada walaupun di bawah kawal selia agensi baharu.

“Namun begitu sekiranya terdapat keperluan perkhidmatan, KKM bersedia memohon perjawatan baharu daripada agensi pusat,” katanya.

Ancaman kesihatan awam adalah seperti penyebaran penyakit berjangkit, kemasukan ubat dan bahan kimia terlarang, penyeludupan haiwan pembawa penyakit zoonotik, makanan dan minuman tidak selamat dan kemasukan pendatang asing yang tidak mempunyai vaksinasi asas.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan sudah meluluskan 6,813 perjawatan kepada AKPS yang berfungsi sebagai agensi tunggal di sempadan, menyatukan kepakaran dan sumber dari pelbagai jabatan kerajaan untuk menyelaraskan operasi di 141 pintu masuk negara.

Perjawatan keseluruhan AKPS pula adalah seramai 12,000 orang kakitangan apabila pengoperasian penuh pada tahun depan.

Setakat 1 Februari lalu, 22 pintu masuk diambil alih AKPS dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sudah melalui fasa pertama pelaksanaan sistem itu dalam menambah baik operasi kawalan di pintu masuk negara.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat