Pembangkang Boleh Bersatu Kalau Ikut Saya – Tun Mahathir

Oleh: Zulkifli Mat Rawi

 

 

KUALA LUMPUR – Parti-parti pembangkang boleh bersatu sekiranya masing-masing mengenepikan ego mereka dan bersama mengikut mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

 

Kata Tun Mahathir, pembangkang tidak pernah bersatu selama ini sehingga menyebabkan Barisan Nasional menerima manfaat daripada perpecahan mereka

 

“Saya tidak dapat hentikan jika mereka berhasrat mahu berpecah atau berkelahi sesama mereka. Mereka hendak berpecah, berpecahlah.

 

“Berpecah atau tidak bukan mengharap kepada saya. Kalau semua parti pembangkang ikut saya pasti mereka bersatu, ini tidak masing-masing berbeza haluan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir pada majlis perasmian Dewan Centennial Sultan Abdul Halim, di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) di sini.

 

Jelas Tun Mahathir, dakwaan beliau menjadi punca perpecahan pembangkang menerusi Deklarasi Rakyat yang diterajuinya tidak tepat kerana pembangkang memang tidak pernah bersatu selama ini.

 

Apa yang berlaku di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini kata Tun Mahathir, adalah contoh terbaik yang membuktikan parti pembangkang gagal bersatu sekaligus menyebabkan mereka tewas dan memberi kemenangan besar kepada BN.

 

Semalam bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata pembangkang menjadi lebih kuat dengan kehadiran Mahathir yang bekerjasama untuk menjatuhkan perdana menteri.

 

Husam yang baru dipecat daripada PAS itu berkata, Dr Mahathir patut “melatih” pemimpin pembangkang untuk bersatu bagi mencapai matlamat mereka.

 

“Dr Mahathir boleh menjadi jurulatih kepada pembangkang. Pembangkang lebih kuat dengan kehadiran Dr Mahathir,” katanya selepas menghadiri Dialog Bersama Husam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor malam tadi.

 

Husam berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam bahawa parti pembangkang tidak akan dapat memenangi sebarang pilihan raya tanpa adanya kesatuan dalam pakatan mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.