Lim Guan Eng Patut Letak Jawatan, Kata Tun Dr Mahathir

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Pulau Pinang, yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga patut letak jawatan dan berundur, kata mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

 

“Saya akan kata kedua-dua kamu patut letak jawatan,” tegas Dr Mahathir ketika menjawab soalan anggota Parlimen DAP Bukit Mertajam Steven Sim pada sidang media selepas pelancaran buku jilid kedua “Dr Mahathir selected letters to World Leaders” (Surat terpilih Dr Mahathir kepada Pemimpin Dunia) di Putrajaya, Isnin.

 

Wakil rakyat DAP itu bertanya jika beliau (Dr Mahathir) mahu menulis surat kepada Guan Eng dan juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, apa yang akan diberitahunya.

 

Dr Mahathir berkata, Guan Eng juga perlu berundur selepas perbezaan kerajaan pusat dan negeri mewujudkan suasana politik yang tidak baik.

 

“Sejak 60 tahun (lalu) negara ini stabil dan berkembang pesat. Tapi bila kita ada kerajaan yang berbeza di negeri (dan pusat), muncul perkara antagonis (bertentangan), kembali kepada sentimen perkauman dan sebagainya.

 

“Sudah pasti anda tidak memberikan kebaikan kepada negara. Jadi mungkin lebih baik dua-dua letak jawatan,” kata Dr Mahathir sebagai jawapan kepada Steven yang turut bertanya pada sidang media berkenaan, lapor portal berita Malaysiakini.

 

Turut kelihatan hadir pada program pelancaran buku berkenaan ialah Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, adik menteri besar Selangor, Umi Hafilda Ali serta bekas ahli parlimen PKR Balik Pulau, Yusmadi Yusof.

 

Dalam sidang media yang sama, apabila ditanya siapakah yang layak menggantikan perdana menteri sekarang jika beliau berundur, Dr Mahathir hanya menjawab “Tiada siapa.”

 

Dalam pada itu portal berita The Malaysian Insider (TMI) pula melaporkan, selepas mentadbir negara selama 22 tahun, Dr Mahathir kini mencadangkan agar kuasa perdana menteri dikurangkan.

 

Sehubungan itu, Mahathir berkata, beliau mencadangkan supaya kerajaan membentuk satu jawatankuasa baru seperti kabinet yang tidak dilantik perdana menteri sebagai penasihat ketua negara itu.

 

“Saya rasa kita perlu ada Kabinet luaran, mengandungi mereka yang tidak dilantik perdana menteri, dan mempunyai kuasa untuk bersuara, contohnya perdana menteri ingin meminjam duit, mereka ini yang akan menyoal siasat beliau,” TMI melaporkan Dr Mahathir sebagai berkata di sidang media yang sama. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.