Jangan Sebar Berita Palsu Kes Ragut Di Gereja

SEREMBAN 19 Mei – Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) mahu semua pihak menghentikan penyebaran berita palsu yang boleh mengundang pelbagai persepsi termasuklah ketegangan agama berhubung kes jenayah yang berlaku di Gereja Visition di sini pada Rabu lalu.

Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh pihak polis, kejadian yang menimpa dua rahib di gereja berkenaan adalah kes jenayah ragut dan tidak perlu diputarbelitkan.

“Saya sendiri telah menghubungi Ketua Polis negeri (Datuk Osman Salleh) untuk mendapatkan kepastian berhubung kes berkenaan. Ingin saya nyatakan bahawa ini adalah kes ragut dan tidak melibatkan isu-isu lain.

“Kita meminta orang ramai dapatkan maklumat tepat dan tidak sewenang-wenangnya menerima sebarang bentuk khabar angin kerana kita khuatir akan menyebabkan ketegangan antara kaum,” katanya.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke gereja berkenaan di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Baharuddin Mustapha dan ahli tertinggi Gereja Visition. – UTUSAN ONLINE

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.