Pembersihan Etnik Tak Boleh Diterima – Parlimen Malaysia Tegur Israel di Sidang Antarabangsa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sokongan Malaysia terhadap Palestin bukan semata-mata dasar luar, tetapi lahir daripada semangat kemanusiaan dan prinsip moral sejagat yang menjadi pegangan bersama rakyat negara ini, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Menurut beliau, Parlimen Malaysia akan terus memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa dalam membela rakyat Palestin yang telah lama tertindas akibat penjajahan dan keganasan.

“Parlimen Malaysia akan terus menjadi suara lantang di peringkat antarabangsa dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang telah lama dizalimi,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Kumpulan Parlimen Menyokong Palestin yang berlangsung di Istanbul, Turkiye.

Mesyuarat itu menghimpunkan Speaker dan Presiden Parlimen dari seluruh dunia dalam semangat solidariti, dengan fokus utama memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin.

Johari turut menegaskan sokongan berterusan Malaysia terhadap pembentukan negara Palestin yang bebas dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara.

Beliau menyuarakan kekecewaan terhadap tindakan Israel yang melanggar perjanjian gencatan senjata sejak 18 Mac lalu, meskipun ia telah dimeterai dengan pengantaraan Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat pada Januari.

“Sokongan Malaysia bukan bersifat simbolik atau bermusim, tetapi lahir daripada komitmen moral dan dasar luar negara yang berteraskan keadilan sejagat,” katanya memetik BERNAMA.

Beliau menyifatkan serangan ke atas Gaza sebagai jenayah perang yang terang-terangan mencabuli undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva 1949, dengan jumlah korban melebihi 50,000 orang – majoritinya wanita dan kanak-kanak – sejak Oktober 2023.

Malaysia turut menolak keras segala bentuk pemindahan paksa terhadap rakyat Palestin, yang menurut Johari, merupakan satu tindakan kejam yang tidak berperikemanusiaan.

“Itu adalah satu bentuk pembersihan etnik yang sama sekali tidak boleh diterima dalam masyarakat antarabangsa,” katanya.

Johari juga mengecam keras keputusan Parlimen Israel (Knesset) yang menghalang operasi Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di beberapa wilayah Palestin, kerana ia mengancam kelangsungan hidup lebih 5.9 juta pelarian yang bergantung kepada bantuan tersebut.

Sebagai langkah ke hadapan, Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap pelan pembangunan semula Gaza yang dicadangkan oleh Mesir dan mendesak agar semua resolusi Majlis Keselamatan PBB serta keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa dilaksanakan segera.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat