Kontroversi Menara KL isu orang berniaga, bukan isu kepentingan Melayu

- Advertisement -

Tindakan penyitaan Menara Kuala Lumpur pada 17 April 2025, susulan arahan Kementerian Komunikasi dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, tidak sepatutnya berlaku jika semua pihak mematuhi undang-undang dan bertindak profesional.

Namun, langkah ini terpaksa diambil selepas syarikat pengendali lama, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), enggan mengosongkan premis walaupun konsesi mereka telah tamat pada 31 Mac 2025.

Hakikatnya, isu utama di sini ialah kontrak pengurusan Menara Kuala Lumpur oleh MKLSB telah berakhir.

Perbalahan ini tiada kena-mengena dengan isu orang Melayu. Ini adalah pertikaian antara pihak yang berebut peluang perniagaan yang menjanjikan puluhan juta ringgit setahun, bukan soal bangsa.

Malangnya, beberapa pemimpin pembangkang Melayu membenarkan diri mereka terseret dalam naratif perkauman yang mengaburi hakikat sebenar.

Hydroshoppe Sdn Bhd, pemilik baharu MKLSB, mendakwa mereka telah dianiaya apabila kerajaan tidak menyambung kontrak konsesi. Mereka berhujah bahawa wujud jaminan lisan semasa mengambil alih MKLSB daripada Telekom Malaysia pada 2022, dan telah melabur sejumlah besar bagi penyelenggaraan Menara KL.

Namun dalam pengurusan aset kerajaan, jaminan tidak rasmi tidak boleh dijadikan asas mutlak, apatah lagi apabila melibatkan perjanjian jangka panjang. Tata kelola mesti berasaskan kontrak yang sah dan proses penilaian yang telus.

Kontrak asal MKLSB – anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia (TM) – tamat pada 31 Disember 2021. Selepas itu, kerajaan memberikan lima kali lanjutan interim, dengan lanjutan terakhir berakhir pada 31 Mac 2025.

Sejak itu, kerajaan telah menjalankan proses tender terbuka yang turut disertai oleh MKLSB sendiri. Syarikat baharu, LSH Service Masters Sdn Bhd, diumumkan sebagai pemenang dan mula mengurus Menara KL mulai 1 April 2025, selepas diluluskan oleh Jemaah Menteri pada Disember 2023.

Ini menolak dakwaan bahawa keputusan dibuat secara berat sebelah. Sebaliknya, ia membuktikan bahawa pemilihan dilakukan berdasarkan merit dan keupayaan.

MKLSB kini mencabar keputusan ini di mahkamah – dan tempat terbaik untuk menyelesaikan pertikaian ini adalah di sana, bukan melalui sentimen yang mengheret bangsa ke dalam konflik perniagaan.

Lebih ironik, semasa MKLSB dijual kepada Hydroshoppe pada 31 Oktober 2022, tiada proses terbuka atau pelawaan kepada syarikat bumiputera lain. Maka, tidak wajar kini mengangkatnya sebagai “kepentingan strategik Melayu”. Jika ia diurus oleh entiti seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), barulah hujah itu munasabah.

Garis Masa Penting

  • 31 Disember 2021: Kontrak asal MKLSB, anak syarikat Telekom Malaysia (TM), tamat selepas tempoh 10 tahun.
  • 31 Oktober 2022: TM menjual 100% saham MKLSB kepada Hydroshoppe Sdn Bhd, syarikat berbayar modal RM1 juta tanpa rekod pengurusan aset pelancongan. Transaksi ini berlaku ketika kerajaan dalam status caretaker menjelang PRU15.
  • 31 Mac 2025: Lanjutan kontrak interim ke-5 tamat.
  • 1 April 2025: LSH Service Masters Sdn Bhd sepatutnya mengambil alih pengurusan Menara KL selepas memenangi tender terbuka

Urus Niaga yang Meragukan

Penjualan mengejut MKLSB oleh TM kepada Hydroshoppe ketika kerajaan dalam status caretaker mencetuskan tanda tanya besar. Harga jualan hanya RM3.8 juta, sedangkan keuntungan bersih Menara KL pernah mencecah RM25.6 juta (2018) dan RM20.9 juta (2019).

Pada 2024, pengarah Hydroshoppe, Datuk Abdul Hamid Shaikh, didakwa di bawah Seksyen 17A Akta SPRM atas tuduhan menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun (jumlah keseluruhan RM7.5 juta) kepada individu yang dikatakan proksi kepada bekas menteri. Kes ini kini dibicarakan di mahkamah.

Tamatkan Retorik Perkauman, Fokus kepada Tata Kelola

Mengheret isu ini kepada naratif “syarikat Melayu dirampas dan diberikan kepada syarikat Cina” adalah usaha mengalih tumpuan daripada isu sebenar: salah urus dan ketidakpatuhan kepada prinsip tata kelola.

Jika peralihan ini berlaku tanpa tender terbuka dan penilaian wajar, rakyat berhak mempersoalkannya. Namun apabila proses dilakukan secara profesional dan telus, dengan keputusan Jemaah Menteri, maka inilah bentuk tadbir urus yang sepatutnya kita sokong.

Kesimpulan

Penamatan kontrak Menara KL bukan soal kaum. Ia soal hak kerajaan mengurus aset strategik negara secara bertanggungjawab dan berintegriti.

Manakala bagi pihak syarikat, sekiranya terbukti mereka dianiaya, mereka pasti akan diberi pampasan besar oleh mahkamah nanti.

Sehingga itu, jangan menggunakan sentimen Melayu versus kerajaan dalam isu niaga golongan kayangan ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat