KUALA LUMPUR, 19 April 2025 – Satu laporan polis telah dibuat oleh Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) bersama rakan kongsinya, Hydroshoppe Sdn. Bhd., berhubung insiden kerosakan dan kemusnahan terhadap barangan milik syarikat di premis Menara Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Urusan MKLSB, Dato’ Abdul Hamid Shaikh bin Abdul Razak Shaikh, syarikat mengesyaki kemungkinan wujud unsur khianat yang disengajakan dalam kejadian tersebut dan menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan telus.
“Kami berharap siasatan dapat mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab serta motif di sebalik insiden ini. Jika terbukti wujudnya elemen khianat, tindakan sewajarnya perlu diambil mengikut lunas undang-undang,” kata beliau dalam kenyataan media semalam.
MKLSB turut melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan kakitangannya, selepas menerima ugutan kecederaan susulan keputusan syarikat untuk tidak menerima tawaran daripada sebuah pihak dikenali sebagai LSHSM. Tawaran tersebut dikatakan tidak memenuhi prinsip ‘no less favourable’ yang menjadi garis panduan penting dalam setiap urus niaga syarikat.
“Tindakan memusnahkan atau dengan sengaja merosakkan harta syarikat adalah perbuatan tidak beretika dan mencerminkan sikap tidak profesional. Kami tidak akan berdiam diri dan menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan tegas,” tambah Dato’ Abdul Hamid.
Setakat ini, tiada kenyataan lanjut dikeluarkan oleh PDRM mengenai perkembangan siasatan. Namun pihak MKLSB menegaskan komitmen mereka untuk bekerjasama penuh bagi memastikan pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis terdekat.