ATLANTIK SELATAN – Buat pertama kali sejak spesies ini ditemui 100 tahun lalu, seekor anak sotong kolosal berjaya dirakam dalam habitat semula jadinya di dasar lautan dan yang lebih mengagumkan, ia masih bayi.
Menurut kenyataan Schmidt Ocean Institute, rakaman luar biasa itu diambil pada Mac lalu hampir 2,000 kaki di bawah permukaan laut di perairan Atlantik Selatan. Sotong kecil sepanjang kira-kira 1 kaki itu dirakam menggunakan kawalan jauh (ROV) yang dikendalikan kru saintis dari institut berkenaan.
“Sangat mengujakan dapat melihat rakaman pertama in situ sotong kolosal juvenil. Dan cukup merendahkan diri bila memikirkan mereka mungkin langsung tak tahu kewujudan manusia,” kata Dr Kat Bolstad, profesor di Auckland University of Technology yang mengesahkan rakaman itu.
Mata besar dan deria sensitif
Dr Bolstad berkata kepada NPR bahawa spesies ini mungkin sukar dirakam sebelum ini kerana mata mereka yang besar dan sangat sensitif terhadap cahaya dan bunyi, menyebabkan mereka mudah menghindari peralatan penyelidikan.
Sebahagian besar maklumat tentang sotong kolosal sebelum ini hanya diketahui melalui sisa dalam perut paus sperma atau burung laut, dan sebagai pemangsa kepada ikan seperti toothfish.

Kata Bolstad lagi, rakaman ini berpotensi membuka peluang baharu untuk memahami perilaku awal kehidupan sotong kolosal, termasuk diet, jangka hayat, dan tabiat pembiakan yang masih belum diketahui secara mendalam.
Penemuan yang mencetus keterujaan
Menurut ahli biologi laut Thom Linley dari Muzium New Zealand, dia tidak menyangka akan menemui spesimen itu secara tiba-tiba sewaktu sedang membuat persiapan untuk penyelaman.
“Saya sempat terfikir, ‘Oh tidak. Ini mungkin penting,’” katanya.
Rakaman pertama dihantar dalam resolusi rendah kepada Bolstad, yang menurut Linley, “amat kejam” kerana tidak cukup jelas untuk pengesahan. Bolstad pula dikatakan teruja menuntut rakaman penuh dengan berkata:
“Dia terus kata, ‘Bagi yang resolusi tinggi! Bagi yang resolusi tinggi!’”
Disahkan sebagai sotong kolosal
Pengesahan lebih lanjut datang daripada seorang pakar bernama Aaron Evans, yang turut teruja kerana lokasi penemuan itu berdekatan Antartika, satu-satunya habitat sotong kolosal.
Mereka mengenal pasti ciri penting seperti cangkuk kecil pada sesungut sotong itu – satu petanda jelas ia tergolong dalam spesies kolosal.
“Kami sangat teruja, saya mula tercungap-cungap ” ujar Evans sambil ketawa.
Fakta Menarik Tentang Sotong Kolosal
• Hidup di lautan dalam sekitar Antartika
• Boleh membesar sehingga 23 kaki dan berat melebihi 500 kilogram
• Merupakan invertebrata paling berat di dunia
• Mempunyai cangkuk pada sesungut untuk menangkap mangsa dan mempertahankan diri
Spesies ini pertama kali dikenali pada tahun 1925 apabila dua anggota badannya ditemui dalam perut paus sperma.