PAN Ambil Peluang Jadikan Anak Nik Aziz Sebagai Umpan, Kata PAS

KOTA BHARU – PAS menyifatkan pakatan pembangkang terutama Parti Amanah Negara (PAN), hanya mahu menjadikan anak bekas Mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Aziz, sebagai umpan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata PAN sebenarnya tiada daya tarikan kepada masyarakat Kelantan menyebabkan parti itu terpaksa mencari faktor tarikan.

“Nik Omar adalah peluang PAN menjadikan parti itu menarik perhatian ramai dan anak bekas Menteri Besar Kelantan itu hanya dijadikan umpan.

“Pada masa sama, itu menunjukkan PAN tiada kekuatan walaupun terdapat bekas exco atau Naib Presiden PAS dalam parti berkenaan. Mereka tidak yakin dengan barisan kepemimpinan yang ada,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak An-Nisa’ di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, anak kepada Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat yang berusia 53 tahun itu berkata, beliau tidak akan bertanding sebagai calon PAN seperti heboh diperkatakan kerana tidak mendapat restu daripada ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Nik Omar berkata, ibunya meminta beliau tidak terbabit dalam pertandingan sama ada di bawah PAN atau menjadi calon kepada mana-mana parti.

Bagaimanapun, pakatan pembangkang yakin Nik Omar tetap bersama mereka dalam masa terdekat sebelum tiba hari penamaan calon.

Malah, pimpinan PAN juga dikatakan akan mengadakan pertemuan dengan Nik Omar bagi membincangkan perkara berkenaan.

Terdahulu, berucap pada Majlis Pecah Tanah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak An-Nisa’, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, berkata hospital lapan tingkat yang pertama di Kelantan berkonsepkan wanita dan kanak-kanak itu membabitkan kos RM80 juta dan akan memulakan pembinaan Januari tahun depan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.