Nora Danish Sedih Anak Jadi Mangsa Buli Siber

KUALA LUMPUR – Pelakon, Nora Danish, 36, mengakui tidak dapat menahan air mata apabila anaknya, Mohamed Neqayl Nazri yang baru berusia dua bulan menjadi mangsa kecaman seorang pengikut wanita di laman sosial, baru-baru ini.

Nora berkata, selama ini, dia hanya melihat dan bersimpati dengan anak rakan artis lain yang menjadi mangsa buli siber. Namun, apabila perkara yang sama berlaku kepadanya, hatinya luluh dan terkilan.

“Memang saya sedih hingga suami menegur, kenapa saya menangis? Saya terkejut kenapa ada manusia yang sanggup bercakap begitu terhadap bayi yang baru lahir?

“Saya juga manusia biasa yang mempunyai perasaan dan apabila orang mengata begitu terhadap anak saya, semestinya saya sedih,” katanya.

Pelakon filem Makrifat Cinta dan Surga Yang Tak Dirindukan 2 itu bagaimanapun, enggan isu itu dipanjangkan dan berharap semua pihak tidak lagi bercakap mengenainya.

Nora berkata, dia juga berharap isu buli siber yang semakin berleluasa ketika ini segera dihentikan supaya tidak menjadi ikutan generasi akan datang.

Isteri kepada Nedim Nazri itu ditemui pada majlis pelancaran salunnya, Karva di G Village, Jalan Desa Pandan, di sini, petang tadi.

Salun khusus untuk wanita itu diusahakan Nora bersama kakaknya, Cathy Danish dan rakan niaga dari Singapura, Rozza Ramli mula beroperasi sejak 7 April lalu.

“Tahun lalu, saya mengunjungi Karva di Singapura dan bertemu pemiliknya, Rozza. Bermula dengan perbualan kasual, ia seterusnya mencetuskan idea untuk membawa konsep yang sama ke sini.

“Ia sesuai untuk wanita bertudung dan ibu yang inginkan keselesaan. Salun ini juga boleh menjadi lokasi berkumpul seperti untuk mengadakan parti,” katanya yang akan kembali berlakon drama bersiri selepas Aidilfitri. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.