DAP Letak Calon Melayu Memang Dijangka

BAGAN DATUK – Tindakan DAP meletakkan calon Melayu mewakili parti itu di Perak sebagai calon Menteri Besar jika menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) merupakan tindakan yang sudah dijangka kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, hal demikian kerana DAP sedar penolakan dan fobia orang Melayu terhadap parti cauvinis itu.

Ahmad Zahid berkata, tindakan DAP itu adalah untuk menarik undi Melayu dan mencapai hasrat mengetuai negeri ini yang sebelum ini gagal dilakukan.

“Kita telah menjangka dari awal lagi apabila DAP tidak menggunakan lambang parti sebalik­nya guna lambang parti lain demi menarik pengundi Melayu.

“Tentunya dengan meletakkan seorang pakar undang-undang (dari DAP) tetapi bertanding menggunakan lambang parti lain, ini adalah satu pengesahan dan agenda mereka kini terserlah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini, petik Utusan

Ahmad Zahid turut mengulas tindakan DAP meletakkan Prof Dr Abdul Aziz Bari untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak seperti disahkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang baru-baru ini.

Tambahnya, pihak yang menjadi mangsa tindakan DAP itu adalah sekutunya iaitu PPBM, PAN dan PKR kerana sudah hampir pasti kawasan ditan­dingi DAP yang diletakkan calon Melayu bertujuan mencari tokoh bagi menjadi Menteri Besar.

Mengulas tindakan Pe­nge­rusi DAP Perak, Nga Kor Ming bertanding di Parlimen Te­luk Intan bagi menentang Pengerusi Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong, Ahmad Zahid berkata, perkara itu terserah kepada kebijaksanaan rakyat Teluk Intan.

“Siapa pun mewakili DAP, mereka terdiri daripada calon nomad iaitu bertukar kawasan hampir setiap kali pilihan raya seperti mana Ahli Parlimen Taiping (Kor Ming) menawarkan diri untuk bertanding di Parlimen Teluk Intan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.