Video: Konsert Ella 2016 – Otai Rock Bergabung

PADA usia 50 tahun, ratu rock negara, Ella, membuktikan dia masih berbisa dan bertenaga menerusi Konsert Ella 2016 yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor 16 April lalu.

 

Dalam konsert berdurasi tiga jam itu, Ella tidak bersendirian apabila turut dihangatkan dengan petikan gitar daripada Man Kidal selaku pengarah muzik, Fly (bes), Ridz (gitar), Roza Rio (keyboard) dan Ujang (dram) serta barisan gitaris terkenal iaitu Lord The Boys, Joey Wings, Edrie Hashim, Hillary Ang dan Kyoji Yamamoto dari Jepun.

 

Lebih istimewa, Ella menampilkan suami tercinta, Azhar Husaini Ghazali yang bermain gitar untuk lagu Cinta Berakhir dan Dua Insan Bercinta. Pasangan bahagia ini turut berduet lagu Mendung Tak Bererti Hujab yang dipopularkan bersama Deddy Dores.

 

Konsert sempena 30 tahun pembabitannya dalam dunia muzik menyaksikan sebanyak 27 buah lagu disempurnakan Ella antaranya Permata Biru, Justeru, Bendera Damai, Pengemis Cinta, Layar Impian, Cinta Selembut Sutera, Pergilah Sayang (penampilan khas bersama Korie), Mungkin, Penawar, Permata Pemotong Permata, Rindu, Kitalah Bintang, Demi, Menanti, Sembilu, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Gelora, Kesal, Tiada Tangis Lagi, Gemilang dan Belenggu.

 

Sebelum kemunculan Ella, pentas konsert dibuka dengan persembahan Kaka Azraff yang mendendangkan lagu hitnya, Bukan Hal Aku serta lagu Standing In The Eyes Of The World. Kemudian, kumpulan Bunkface mengambil tempat dengan menyampaikan dua lagu popular mereka, Malam Ini Kita Punya dan Darah Muda.

 

 

Keletah dua orang pelawak selaku pengacara, Abam Bocey dan Ali Putih menggamatkan lagi pentas Konsert Ella 2016 yang dihadiri kira-kira 8,000 orang penonton rata-ratanya berbaju putih sebagai simbolik kepada mesej memerangi gejala dadah yang diperjuangkan Ella.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.