Pengecas Telefon Bocor Punca Renjatan Elektrik

KOTA BHARU – Renjatan elektrik sehingga menyebabkan kematian Suhana Mohamad ketika wanita itu bercakap menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas, Jumaat lalu, dipercayai berpunca daripada kebocoran pada alat pe­ngecas.

 

Suaminya, Raja Asri Raja Mat, 29, berkata, perkara itu disahkan oleh pegawai Tenaga Nasional Ber­­­had (TNB) yang membuat pe­me­­riksaan lanjut ke atas telefon mudah alih berkenaan serta sistem pendawaian rumah mereka.

 

“Pegawai itu memberitahu, terdapat kebocoran elektrik di kepala pengecas manakala telefon model HTC One (M8) milik isteri saya ti­dak ada masalah apa-apa.

 

“Kepala pengecas yang isteri saya guna untuk mengecas tele­fonnya itu bukan yang asli, sebaliknya dibeli di kedai biasa,” kata­nya ketika dihubungi di sini semalam.

 

Akhbar semalam melaporkan, Suhana, 30, maut selepas terkena renjatan elektrik ketika dia sedang bercakap menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas di kediamannya di Taman Desa Bai­duri, Cheras kira-kira pukul 11.30 malam Jumaat lalu.

 

Lebih tragis, ibu kepada dua cahaya mata itu meninggal dunia pada hari kelahirannya yang ke-30.

 

Raja Asri dalam pada itu memberitahu, mereka sekeluarga masih dalam keadaan terkejut dengan insiden tersebut dan dia sendiri amat sukar mahu menerima isteri kesayangan telah pergi.

 

Mengenai masa depan anak-anaknya iaitu Raja Adam Irfan, 5, serta Raja Nurin Alisa, 2, yang kehilangan ibu dalam usia muda, anggota polis berpangkat koperal itu berkata, dia setakat ini belum mempunyai apa-apa rancangan kerana masih buntu.

 

“Saya tidak pasti sama ada mahu membawa mereka pulang ke kampung untuk dijaga ahli keluarga terdekat atau terus tinggal bersama mereka di Taman Desa Baiduri,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.