Histeria Merebak Ke Tiga Sekolah Lain

KOTA BHARU — Selepas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 2 terkena histeria, kini pelajar di tiga sekolah berhampiran turut mengalami nasib sama.

 

Histeria kini melibatkan lima pelajar perempuan SMK Pengkalan Chepa 1, 20 pelajar SMK Kemumin, dan lapan termasuk seorang guru di SMK Kubang Kerian 3 di sini.

 

Menurut laporan akhbar Kosmo!, jarak SMK Pengkalan Chepa 2 dengan SMK Pengkalan Chepa 1 hanya 1.6 kilometer, dan jarak SMK Pengkalan Chepa 2 ke SMK Kemumin 5.7 kilometer.

 

Manakala jarak SMK Pengkalan Chepa 2 ke SMK Kubang Kerian 3 sejauh 7.9 kilometer.

 

Tinjauan akhbar itu di SMK Kemumin mendapati pelajar berkumpul di surau sekolah untuk membaca al-Quran selepas pelajar perempuan meracau dan meraung sebelum dihantar pulang ke rumah.

 

Ketua sektor pengurusan sekolah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Che Abdullah Mohamad mengesahkan kejadian-kejadian itu.

 

Namun beliau tidak menolak faktor tekanan peperiksaan sebagai punca histeria — dalam budaya Melayu, selalunya dikaitkan dengan penampakan makhluk halus atau hantu.

 

“Memang ada beberapa kes melibatkan pelajar SMK Pengkalan Chepa 1, SMK Kemumin dan SMK Kubang Kerian 3 tetapi tidak terlalu serius seperti kejadian di SMK Pengkalan Chepa 2 minggu lalu.

 

“Mungkin kejadian ini berlaku ekoran ada antara pelajar yang mengalami tekanan ekoran peperiksaan akan berlangsung sekitar Mei ini,” katanya kepada akhbar itu.

 

Tambahnya, buat masa ini sesi persekolahan berjalan seperti biasa dan JPN berharap perkara sama tidak berulang. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.