Dr Zakir Cabar Pengkritik Saman Al-Quran Di Mahkamah

KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik mencabar pengkritik memfailkan kes di mahkamah terhadap al-Quran di atas kenyataannya mengatakan ALLAH SWT tidak mempunyai anak.

 

Mengimbas kembali kehadirannya di Malaysia pada 2012,  Dr Zakir berkata, beberapa laporan polis dibuat terhadapnya kerana dituduh menghina agama lain kerana kenyataannya itu.

 

Bagaimanapun Tokoh Maal Hijrah 2013 itu menjelaskan, kenyataannya itu bukan ucapan, sebaliknya firman ALLAH SWT dalam al-Quran.

 

“Jika anda ingin failkan pertuduhan kepada saya, anda perlu buat laporan kes terhadap al-Quran, bukan saya. Ini kerana al-Quran mengatakan ALLAH SWT tidak mempunyai anak.

 

“Saya seorang da’i (pendakwah), saya perlu bercakap mengenai ALLAH. Adakah saya menghina seseorang? Jika anda ada bukti  saya menghina, saya sedia untuk hukuman itu,” katanya pada ceramah bertajuk ‘Adakah al-Quran itu Kata-kata ALLAH?’ di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil, kelmarin.

 

Pada program Jelajah Malaysia 2016 itu, lebih 30,000 pengunjung menyertai ceramah yang bermula jam 9 malam dan berakhir enam jam kemudian.

 

Antara yang hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Mufti Perlis dan Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

 

Dr Zakir kemudian memetik surah al-Ikhlas: “ALLAH berkata, Dia satu-satunya, Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan.”

 

Meskipun diberitahu sesetengah pihak, termasuk orang Islam agar tidak mengulangi, Zakir bagaimanapun menegaskan bahawa ini adalah tentang agamanya.

 

“Bukan saya kata, tetapi ada dalam surah al-Ikhlas. Saya di sini tidak menghina agama-agama lain. Dalam agama saya, bagaimana saya mahu berhenti mengatakan ALLAH itu satu?” katanya.

 

Sementara itu memetik kitab-kitab Yahudi, Kristian, Sikh dan Parsi, Dr Zakir mendakwa bahawa semua agama mengatakan bahawa Tuhan adalah satu.

 

“Tuhan itu tidak mempunyai imej, tiada patung, tiada gambar, tiada lukisan,” katanya.

 

Dalam pada itu, Dr Zakir sekali lagi menegaskan bahawa kehadirannya bukan cubaan untuk mencetuskan perbalahan pelbagai penganut agama di Malaysia.

 

Sebaliknya, beliau berkata, kehadirannya bertujuan menyatupadukan segenap masyarakat dunia, tanpa mengira perbezaan pegangan agama, kaum dan bangsa.

 

“Saya bukan datang sini untuk tabur fitnah atau cuba merendah-rendahkan kepercayaan agama lain, sebaliknya saya hanya ingin satukan semua.

 

“Kenapa kita tidak melihat kepada persamaan, tetapi sibuk mementingkan perbezaan yang akhirnya membawa kepada perpecahan dan perbalahan dalam kalangan masyarakat dunia,” katanya.

 

Memetik kitab-kitab Hindu, Dr Zakir berkata, ia dinyatakan bahawa Tuhan tidak mempunyai ibu bapa, tidak berimej dan tiada patung.

 

“Siapa kata? Bukan Zakir. Apa yang ingin anda lakukan? Membuat laporan polis terhadap saya?” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.