Wang Persaraan Hak Mutlak Pencarum KWSP

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sepatutnya mendengar bantahan semua pihak terutama golongan pencarum berhubung cadangan menyelaraskan syarat umur pengeluaran simpanan persaraan pada usia 60 tahun.

 

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman menganggap adalah sesuatu yang memalukan jika pihak pentadbiran KWSP gagal mendengar suara mereka dan meneruskan cada­ngan tersebut memandangkan wang berkenaan adalah hak pencarum.

 

Tegasnya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan perlu melepaskan jawatan jika agensi berkenaan tetap melaksanakan cadangan berkenaan.

 

“CEO KWSP wajar melepaskan jawatan kerana telah menghancurkan harapan pencarum. Sudah pasti pencarum-pencarum mahu menghabiskan sisa hidup mereka dengan selesa, tetapi jika pihak pentadbiran KWSP gagal mendengar suara mereka, hal itu boleh dianggap memalukan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 

Katanya, jika alasan rata-rata pencarum menghabiskan simpanan persaraan tiga hingga lima tahun selepas membuat pengeluaran penuh pada usia 55 tahun menyebabkan KWSP bercadang melaksanakan penyelarasan usia itu, agensi berkenaan sepatutnya mewujudkan satu badan khidmat nasihat secara percuma bagi mengelakkan pencarum daripada terlibat dengan peni­puan dalam soal kewangan.

 

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Khalid Atan pula menyarankan KWSP memberi pilihan kepada pencarum untuk mengeluarkan simpanan persaraan pada usia 55 atau 60 tahun kerana itu adalah hak mereka sendiri.

 

Walau bagaimanapun jelasnya, umur 55 tahun dilihat sebagai usia yang sesuai bagi pencarum untuk menguruskan kewangan kerana mereka mungkin ada perancangan tersendiri untuk menggunakan wang tersebut.

 

“Wang persaraan itu adalah hak mutlak pencarum dan bagaimana cara membelanjakan dan menguruskan wang tersebut terserah kepada mereka.

 

“Kita tidak tahu, mungkin mereka akan menggunakan wang itu untuk faedah jangka masa panjang seperti menjadikan sebagai pusingan modal perniagaan atau apa sahaja yang boleh membawa keuntungan,” katanya.

 

Katanya, seiring dengan pilihan pencarum, adalah lebih baik KWSP melakukan promosi bagi mendidik mereka cara menguruskan wang berbanding menetapkan umur pengeluaran wang persaraan.

 

Tegasnya, KWSP harus mengambil kira pandangan majoriti khususnya pencarum supaya tidak timbul permasalahan yang tidak sepatutnya kelak. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.