Tidak Ada Sebab Untuk Tukar Menteri Besar – PAS Selangor

Kuala Lumpur – PAS negeri Selangor menafikan sekeras-kerasnya khabar angin parti itu akan bekerjasama dengan UMNO dalam usaha untuk membentuk kerajaan campuran di negeri Selangor.

 

Pesuruhjayanya, Iskandar Abdul Samad berkata PAS Selangor tidak mempunyai sebarang masalah dengan pentadbiran kerajaan negeri yang diketuai Mohamed Azmin Ali dan mampu bekerjasama dengan baik.

 

“Orang ramai digesa agar tidak mempercayai berita bahawa PAS dan UMNO akan bergabung untuk membentuk kerajaan di Selangor.

 

“PAS Selangor dapat bekerjasama dengan baik dengan YAB Mohd Azmin Ali maka tidak ada sebab untuk menukar Menteri Besar.

 

“Tambahan pula, PAS Selangor tidak akan sama sekali bekerjasama dengan UMNO,” tegasnya dalam satu kenyataan.

 

SuaraTV sebelum ini melaporkan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkemungkinan akan dilantik semula sebagai Menteri Besar Selangor apabila 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti PAS dan PKR dijangka menyokong cadangan itu.

 

Sekurang-kurangnya 10 ADUN PAS dan lima ADUN PKR telah menyatakan persetujuan untuk bersama membentuk kerajaan baru di negeri Selangor.

 

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikatakan telah mengadakan satu pertemuan sulit dengan Khalid Ibrahim di Jakarta baru-baru ini bagi membincangkan perkara itu.

 

Iskandar dalam kenyataannya juga tidak menolak kemungkinan khabar angin itu sengaja dicipta bagi memberi tanggapan negatif kepada Abdul Hadi menjelang pemilihan PAS yang dijadualkan Jun depan.

 

“Kemungkinan besar berita tersebut adalah bertujuan untuk menjatuhkan imej Presiden PAS menjelang Muktamar PAS bulan Jun ini.

 

“Walau bagaimanapun saya percaya ahli-ahli dapat membezakan di antara berita palsu dan berita tulin,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.