Sesi Baru PLKN Terap Pengajaran Bidang Kemahiran – Hishammuddin

Kuala Lumpur – Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bakal mengikuti modul kemahiran teknikal dan vokasional sebagai persiapan memasuki pasaran kerja, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

 

Beliau berkata, penambahan yang tercetus melalui Makmal Transformasi PLKN yang berakhir 27 Mac itu merupakan nilai tambah kepada modul asas seperti patriotisme dan perpaduan yang akan melibatkan kerjasama syarikat swasta.

 

“Penambahan elemen kemahiran teknikal dan vokasional kepada tranformasi PLKN dibentangkan kepada Kabinet minggu lepas dan saya minta supaya ia diserapkan ke dalam Rancangan Malaysia ke-11.

 

“Cara bagaimana syarikat swasta akan dilibatkan dalam transformasi ini akan kita putuskan segera dalam waktu terdekat,” katanya dalam sidang media selepas meninjau Hari Terbuka Transformasi PLKN di Putrajaya, hari ini.

 

Hishammuddin berkata, dengan penglibatan syarikat swasta, sijil yang diperoleh akan menjadi lebih bernilai manakala pihak swasta tidak dengan mudah menolak permohonan kerja bekas pelatih yang pernah mendapat latihan sepertimana yang diperlukan syarikat berkenaan di PLKN.

 

Hishammuddin juga yakin sesi baharu PLKN boleh bermula awal tahun depan selepas pihaknya membentangkan laporan makmal dan input hari terbuka kepada jemaah menteri apabila proses mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berakhir minggu depan.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2015 pada Oktober tahun lepas mengumumkan bahawa PLKN yang mengeluarkan lebih 800,000 pelatih sejak diperkenalkan pada 16 Februari 2004, akan dikaji semula, selain memperkenalkan konsep baharu menjalinkan keperluan kemahiran dan kenegaraan.

 

Najib, dalam Perutusan Khas Perkembangan Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara pada Januari lepas pula mengumumkan penangguhan PLKN tahun ini untuk membolehkan penjimatan RM400 juta selain membolehkan program itu dikaji semula dengan penambahbaikan.

 

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata kerajaan tetap berharap baki pelajar atau rakyat Malaysia yang berada di Yaman dapat pulang segera ke tanah air kerana secara realiti, keadaan di kawasan bergolak itu amat membimbangkan.

 

Beliau berkata, walaupun kerajaan tidak berhak untuk memaksa mereka pulang kerana pemergian dibuat secara persendirian, pihaknya tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan menempatkan pesawat Hercules C130 milik Angkatan Tentera Malaysia di Djibouti jika pelajar berkenaan ingin kembali ke Malaysia.

 

“Walaupun mungkin beranggapan kawasan pengajian mereka di Hadramaut, Hudoidah dan Sana’a tidak segetir di Aden tetapi keadaan boleh berubah pada bila-bila masa,” katanya dan menganggarkan terdapat kurang daripada 150 pelajar lagi berada di ketiga-tiga wilayah tersebut.

 

Menurut Wisma Putra sejumlah 496 pelajar Malaysia termasuk dari Aden dipindahkan dari beberapa wilayah di Yaman seperti Sana’a, Hodaidah dan Hadramaut sejak 7 April lepas berikutan perang saudara yang semakin meruncing di negara itu. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.