Seksi Kerana Terpaksa – Izara

Meskipun namanya jarang dikaitkan dengan isu penampilan yang terlalu menjolok,  pelakon Izara Aishah kini lebih berjaga-jaga dari segi pemakaiannya.

 

Menurut naib juara Dewi Remaja 2010 ini, dia mula menyedari soal penampilan dirinya yang agak seksi menerusi lakonan dalam filem Sejoli yang pernah ditayangkan sekitar awal tahun lalu. Justeru, sekarang dia mengambil langkah meletakkan syarat dari segi soal pemakaian.

 

“Bila saya tonton semula lakonan saya dalam Sejoli, saya mula sedar dan berasa tidak selesa. Jadi, sekarang saya letakkan syarat tidak mahu tampil dengan pemakaian yang terlalu terdedah.

 

“Untuk filem Pilot Cafe ini pun, babak saya kena pakai seksi tu sebenarnya saya kurang selesa tapi saya terpaksa akur dengan permintaan pihak produksi.

 

“Namun, dari segi lakonan pula saya tidak letak syarat apa-apa. Lagipun saya percaya yang kekasih saya faham mengenai bidang kerja saya sebagai seorang pelakon.

 

“Asalkan saya tahu menjaga diri dan batasan,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem arahan Osman Ali di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

 

Begitupun Izara meluahkan rasa sedih ekoran dakwaan sesetengah pihak dirinya kini sudah sombong tambahan sejak dia menjalin hubungan cinta dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tune Studios iaitu Adib Khalid.

 

Tegas Izara, dirinya masih orang yang sama seperti mana sejak pertama kali menjejakkan kaki ke dunia seni tanah air. Malah, dia tidak pernah mendapat komen atau teguran daripada keluarga dan kenalan rapatnya mengenai kononnya dia sudah berubah sikap.

 

Namun, akui gadis berusia 23 tahun ini dia sekarang lebih terbuka berkongsikan hal peribadi.

 

“Saya tak faham kenapa orang cakap saya sekarang sudah sombong sedangkan saya masih Izara Aishah sama seperti awal-awal saya masuk industri. Kalau jumpa dengan peminat di luar pun, saya sedia melayan atau bergambar dengan mereka.

 

“Kalau betul saya sudah berubah, tiada pula kawan-kawan rapat atau keluarga yang menegur atau merungut tentang perubahan sikap saya.

 

“Sebelum ini saya lebih fokus kepada kerjaya berbanding cerita peribadi. Cuma sekarang ni saya lebih terbuka untuk berkongsi hal peribadi saya di media sosial jadi mungkin dari situ orang baru nampak dan tahu perangai saya,” katanya.

 

Dalam pada itu, Izara menyatakan dia berdebar menanti tayangan filem Pilot Cafe bermula di pawagam pada 30 Apri ini yang menampilkan dirinya julung kali sebagai teraju utama.

 

Berkongsi pengalaman sepanjang penggambaran, katanya babak menangis dan bersalin antara yang paling mencabar baginya.

 

“Ramai letak harapan tinggi terhadap filem ini dan sedikit sebanyak ia buat saya rasa tertekan, apatah lagi memikirkan bagaimana penerimaan penonton terhadap lakonan saya.

 

“Watak saya kali ini berat dan banyak bermain dengan emosi. Saya juga banyak menangis dalam fiem ini.

 

“Babak menangis dan babak melahirkan anak paing susah dan mencabar. Disebabkan belum ada pengalaman mengandung, saya banyak tengok YouTube dan buat pemerhatian bagaimana cara pergerakan wanita hamil.

 

“Selain itu saya dan pelakon lain, sebeum masuk set kami diberikan kelas latihan yang dibimbing oleh Ellie Suriati sebagai guru lakonan. Latihan juga banyak bantu saya untuk menghayati dan menghidupkan watak Maya,” katanya.

 

Perkembangan lain, Izara kini sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah lagi filem arahan Osman Ali berjudul Kau Yang Satu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.