Pro Ulama PAS Ikut Perangai Geng Juhala, Kata Khalid Samad

KUALA LUMPUR – Perbalahan antara kumpulan ulama de­ngan golongan pro-Anwarinas kian membarah dan hampir tersimpul mati apabila Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, tampil menggelar pihak yang didakwa proulama sebagai ‘geng juhala’ iaitu bermaksud jahil.

 

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu yang kerap dilabelkan sebagai salah seorang daripada pemimpin kumpulan pro-Anwarinas dalam Pas, berbuat demikian sebagai tindak balas selepas berang dengan tindakan golongan proulama menggelar pihak-pihak tertentu parasit kepada parti tersebut.

 

Tambah memanaskan keadaan, kenyataan Khalid itu dibuat kurang 24 jam selepas Pas Bukit Gelugor yang dipimpin Datuk Dr. Mujahid Yusof muncul kawasan ketiga menolak kepemimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sesuatu yang dipertahankan secara tegas oleh kumpulan proulama.

 

“Golongan tu­­kang label ini menggelarkan diri mereka sebagai proulama tetapi hakikatnya, perangai mereka lebih sesuai dengan gelaran ‘geng juhala’. Ini adalah kerana hanya yang jahil akan bersikap dan bertindak seperti mereka.

 

“Kononnya mereka lakukan demi menyokong calon ulama dalam muktamar. Kalau benar, maka saya harap calon ulama ini bukan jenis yang bisu, tidak menegur kejahilan dan kejahatan penyokong,” kata Khalid sebagaimana dipetik daripada blognya http://www.khalidsamad.com, hari ini.

 

Sejak beberapa minggu lalu, sebuah buku yang menyenaraikan lapan pemimpin tertinggi Pas termasuk Khalid sebagai parasit kepada parti kerana didakwa cuba menggulingkan kepemimpinan Abdul Hadi, yang dipercayai ditulis ahli Pas sendiri mula tersebar.

 

Dalam pada itu, Khalid yang sebelum ini sering mengeluarkan kenyataan kontroversi berkata, selain digelar parasit, kumpulan lapan pemimpin itu juga dilabel dengan pelbagai gelaran seperti jebon, Anwarinas, antiulama, antihudud, liberal dan sekular.

 

“Apa sahaja (gelaran) yang mungkin digunakan untuk menimbulkan kebencian terhadap kumpulan pe­mimpin ini. Sama ada gelaran ini betul atau tidak, benar ataupun fitnah, tidak langsung diendahkan. Yang penting, berjaya ditanam kebencian terhadap mereka ini,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.