Perpaduan Umno Kedah Tahap Tertinggi – Mukhriz

Alor Setar – Walaupun berdepan situasi politik di negeri yang ditadbirnya, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata perpaduan Umno Kedah berada pada tahap tertinggi, lapor akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

 

Anak bekas perdana menteri itu juga yakin isu tersebut akan berakhir tanpa menggoyahkan kestabilan parti, sambil menasihatkan semua pihak termasuk ahli Umno, tidak terlalu bimbang mengenainya.

 

“Kita tidak langsung berdepan dengan getir. Perpaduan dan persepakatan Umno Kedah masih pada tahap tinggi sekarang. Janganlah bimbang atau seriau.

 

“Semua ini akan berlalu. Apa pun yang berlaku, biarlah pemimpin atasan selesaikan,” katanya dipetik sebagai berkata.

 

Pada masa sama, anak Tun Dr Mahathir Mohamad itu menasihatkan semua ahli Umno agar menumpukan perhatian dalam memperkukuhkan jentera parti.

 

“Kita bukan sekadar menyokong, malah melalui jentera parti, akan terus kuatkan parti,” katanya.

 

Semalam Badan Perhubungan Umno Kedah dilaporkan menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga presiden Umno, susulan kritikan Dr Mahathir terhadap Najib.

 

Timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang membuat kenyataan itu turut meminta Mukhriz membatalkan cadangan memberikan kenyataan pada 24 April ini di Kuala Lumpur.

 

“Mesyuarat juga bersetuju supaya Mukhriz tidak membuat sebarang kenyataan berkaitan isu ini kerana kami memahami situasi beliau. Kita bersetuju untuk membatalkan mesyuarat Perhubungan Umno Negeri Kedah pada 24 April itu,” katanya.

 

Khamis lalu, Mukhriz yang juga pengerusi badan perhubungan itu didesak Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin, supaya meletak jawatan sekiranya enggan menyatakan sokongan secara terbuka kepada Najib.

 

Mukhriz kemudiannya berkata Ahmad bertindak terburu-buru kerana Umno Kedah sudah memutuskan akan menyatakan pendiriannya terhadap kepimpinan Najib pada 24 April di Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.