Lebih 350 Serpihan Tulang Manusia Ditemui Di Lokasi Nahas MH17

SUBANG JAYA – Pasukan Petugas Bersama Antara Agensi (CJIATF) yang menyiasat lokasi nahas pesawat MH17 di Ukraine telah me­nemukan lebih 350 serpihan tulang manusia pada hari kedua siasatan yang disambung semula semalam.

 

Antara yang ditemukan di lokasi kejadian itu adalah gigi dipercayai milik mangsa nahas yang tidak sempat dikutip beberapa bulan lalu.

 

Selain tulang, turut ditemukan adalah barangan peribadi milik mangsa termasuklah satu album gambar.

 

Empat pegawai forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyertai operasi itu bersama pihak berkuasa Belanda dan Australia, difahamkan masuk semula ke lokasi berkenaan untuk menggali kawasan nahas.

 

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Fuad Abu Zarim yang memantau operasi pegawai PDRM berkata, misi siasatan terakhir itu dilakukan di dua lokasi nahas pesawat terbabit.

 

“Dua lokasi iaitu kawasan ‘major crash’ seluas 100 kali 100 meter dan kawasan ‘minor crash’ 50 kali 40 meter digali sedalam 30 sentimeter untuk mendapatkan bahan bukti bagi melengkapkan siasatan nahas tersebut.

 

“Saya difahamkan oleh Komander Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI), Asisten Komisioner Hussein Omar Khan, hasil pe­nemuan pada hari kedua semalam adalah sangat baik kerana mereka menemukan banyak saki-baki serpihan manusia.

 

“Di kawasan major crash sahaja lebih kurang 250 tulang manusia ditemukan sementara di minor crash hampir 100 tulang manusia serta beberapa barangan peribadi dipercayai milik mangsa dijumpai,” katanya di sini hari ini.

 

Ditanya tentang keadaan lokasi kejadian, Fuad berkata, beliau memaklumkan penyiasatan di lokasi berkenaan berjalan lancar dan tidak lagi berlaku peperangan di lokasi sekitar.

 

“Namun begitu, pasukan terbabit tetap diberi kawalan keselamatan yang ketat oleh Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE).

 

“Perjalanan ke lokasi nahas yang digelar chicken farm sangat lancar dan memakan masa selama dua jam dari Donetsk malah cuaca juga baik iaitu hanya lapan hingga 15 darjah Celsius dengan angin yang sederhana.

 

“Hari ini, mereka akan masuk semula ke lokasi kejadian dan tumpuan dilakukan di kawasan major crash,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.